Rabu, 6 March 2024 | 9:04am
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan (kanan) bersama Presiden Palestin, Mahmoud Abbas. - Foto AFP
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan (kanan) bersama Presiden Palestin, Mahmoud Abbas. - Foto AFP

Peneroka haram Israel punca utama krisis di Gaza - Erdogan

ANKARA: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, berkata peneroka Israel adalah antara punca utama yang menghalang penyelesaian konflik Israel-Palestin selama ini.

"Salah satu halangan terbesar ialah tindakan merampas hak orang lain menggunakan nama 'peneroka' untuk menceroboh dan mencuri tanah milik penduduk Palestin," katanya pada sidang media bersama sempena lawatan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Erdogan, yang lantang memperjuangkan hak Palestin, turut menggesa pemberian akses tanpa ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis sepanjang bulan Ramadan, yang dijangka bermula pada 10 atau 11 Mac.

"Tuntutan ahli politik radikal Israel bagi mengehadkan kemasukan umat Islam ke Masjid Al-Aqsa sama sekali tidak masuk akal dan padahnya sudah tentu serius," katanya.

Semalam, pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengeluarkan kenyataan akan mengehadkan kemasukan jemaah ke perkarangan Masjid Al-Aqsa pada bulan Ramadan, sama seperti tahun lalu, tanpa menyatakan jumlah tertentu.

Abbas pula berkata, pelampau Israel menyedari bahawa umat Islam mahu memulakan ibadah puasa pada bulan of Ramadan dan sudah menjadi kebiasaan mereka untuk menceroboh Masjid Al-Aqsa dan melakukan serangan.

Israel berkata, umat Islam yang dibenarkan memasuki Masjid Al-Aqsa akan dihadkan bermula minggu pertama Ramadan, seperti tahun-tahun sebelumnya, dengan penilaian semasa dilakukan setiap minggu.

Setiap tahun, puluhan ribu umat Islam menunaikan solat pada bulan Ramadan di perkarangan Masjid Al-Aqsa, yang dikenali sebagai Temple Mount oleh penganut Yahudi, yang dianggap tempat suci baik oleh umat Islam mahupun Yahudi.

Ketibaan Ramadan kali ini berlaku ketika pertempuran sengit berterusan di Semenanjung Gaza selepas serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober lalu.

Menteri Keselamatan Kebangsaan Israel yang berhaluan kanan, Itamar Ben Gvir, baru-baru ini berkata penduduk Tebing Barat 'tidak wajar dibenarkan' memasuki Baitulmaqdis, yang didakwa berada di bawah kawalan Israel, untuk beribadah sepanjang Ramadan.

Sebelum Erdogan, Amerika Syarikat menegaskan kepada Israel supaya jangan memburukkan lagi keadaan dengan menyekat akses umat Islam ke Masjid Al-Aqsa. - AFP

Berita Harian X