Selasa, 5 March 2024 | 7:30pm
Kapal Pengawal Pantai China mengerahkan meriam air ke bot awam yang disewa tentera Filipina Unaizah semasa misi pembekalannya berhampiran Second Thomas Shoal di Laut China Selatan yang dipertikaikan. - Foto AFP
Kapal Pengawal Pantai China mengerahkan meriam air ke bot awam yang disewa tentera Filipina Unaizah semasa misi pembekalannya berhampiran Second Thomas Shoal di Laut China Selatan yang dipertikaikan. - Foto AFP

Anak kapal Filipina cedera, kapal rosak akibat pelanggaran dengan kapal Pengawal Pantai China​

MANILA: Dua Kapal Pengawal Pantai China yang berlanggar dengan bot Filipina di perairan Second Thomas Shoal di Kepulauan Spratly, menyebabkan empat kru cedera.

Pasukan petugas kerajaan Filipina dalam satu kenyataan berkata, kapal Pengawal Pantai China dan Militia Maritim China mengganggu, menyekat, menggunakan meriam air dan melaksanakan gerakan berbahaya dalam satu lagi percubaan untuk menghalang rutin bekalan semula dan misi penggiliran secara haram.

Kapal BRP Sindangan bersama satu lagi bot dikerahkan untuk memberi bantuan kepada bot Unaizah 4 Mei dan Unaizah 1 Mei yang membawa askar dan bekalan ke Second Thomas Shoal, di mana tentera Filipina ditempatkan.

Empat kru di atas Unaizah 4 Mei cedera apabila dua kapal Pengawal Pantai China secara serentak melepaskan meriam air dan memecahkan cermin depan.

Ia berkata, sebuah kapal Pengawal Pantai China juga menyebabkan "perlanggaran kecil" dengan Unaizah 4 Mei, yang terpaksa berpatah balik ke pantai tanpa menghantar kargonya.

Pasukan petugas menambah, sebuah kapal Pengawal Pantai China menyebabkan "perlanggaran kecil" berasingan dengan salah satu kapal Pengawal Pantai Filipina yang mengiringi bot bekalan.

Pengawal Pantai China berkata, ia "mengambil langkah kawalan" terhadap pencerobohan haram oleh kapal Filipina di perairan sekitar Second Thomas Shoal.

Jurucakap Pengawal Pantai China, Gan Yu, menuduh kapal Pengawal Pantai Filipina sengaja merempuh bot China sehingga menyebabkan calar kecil.

Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning berkata, Beijing menyatakan bantahan keras berhubung pelanggaran dengan kapal Filipina yang cuba mengangkut bekalan dan bahan binaan ke Sierra Madre.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, mengenepikan tuntutan bersaing daripada sejumlah negara Asia Tenggara dan peraturan antarabangsa yang mengisytiharkan pendiriannya tidak berasas.

Insiden itu berlaku sehari selepas Menteri Luar Filipina, Enrique Manalo menyeru China untuk "berhenti mengganggu mereka" dan mempertahankan strategi Manila untuk menghebahkan gerakan China di Laut China Selatan.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr juga berterus-terang pada acara yang dianjurkan oleh badan pemikir Australia.

"Kami tidak akan sekali-kali menyerahkan walaupun satu inci persegi wilayah kami dan bidang kuasa maritim kami," katanya di luar sidang kemuncak ASEAN di Melbourne.

Konfrontasi itu adalah yang paling sengit antara kapal Filipina dan China dalam tempoh beberapa tahun.

Hubungan antara Manila dan Beijing renggang di bawah Marcos, yang berusaha untuk memperbaiki hubungan dengan sekutu tradisionalnya, Washington dan memperdalam kerjasama pertahanan di rantau ini, sambil turut menolak tindakan China di Laut China Selatan.

Perkara itu berbeza dengan pendekatan bekas Presiden Rodrigo Duterte, yang mengetepikan pertikaian maritim dengan Beijing sebagai pertukaran untuk pelaburan China.

Duta AS ke Filipina, MaryKay Carlson mengecam gerakan berbahaya China dalam satu catatan di platform media sosial X, dengan mengatakan mereka "membahayakan nyawa, mengakibatkan kecederaan, dan merosakkan kapal (Pengawal Pantai Filipina).

Utusan Kesatuan Eropah (EU) ke Manila, Luc Veron, berkata beliau risau dengan usaha China untuk menyasarkan kapal Filipina yang terbabit dalam misi bekalan semula yang penting.

Penganalisis politik, Richard Heydarian berkata tindakan China itu juga boleh mendorong sentimen anti-China di Filipina dan menggalakkan pentadbiran Marcos untuk menggandakan pakatannya dengan Barat dan rakan kongsi tradisional.

"Sudah tentu ia akhirnya boleh... (mengakibatkan) kemalangan ngeri atau insiden yang sangat ganas yang benar-benar boleh meningkat di luar kawalan dengan cara yang bukan sahaja merugikan Filipina tetapi juga kepada parti yang dikatakan lebih kuat," katanya. - AFP

Berita Harian X