Selasa, 5 March 2024 | 3:34pm
Penunjuk perasaan anti-perang membantah latihan bersama tahunan ‘Freedom Shield’ antara Tentera Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan, dekat Pejabat Presiden di Seoul, Korea Selatan. - Foto AFP
Penunjuk perasaan anti-perang membantah latihan bersama tahunan ‘Freedom Shield’ antara Tentera Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan, dekat Pejabat Presiden di Seoul, Korea Selatan. - Foto AFP

Latihan tentera AS-Korea Selatan akan terima padahnya - Pyongyang

SEOUL: Korea Utara memberi amaran kepada Seoul dan Washington susulan latihan ketenteraan berskala besar yang bermula minggu ini dan menggesa dua sekutu untuk menghentikan latihan perang yang terburu-buru itu.

Setakat tahun ini, Pyongyang sudah mengisytiharkan Korea Selatan sebagai musuh utama dan menyisihkan agensi yang bertanggungjawab untuk penyatuan semula dan mengancam perang sekiranya berlaku pencerobohan walau sekelumit tanah milik Korea Utara.

Washington dan Seoul memulakan latihan ketenteraan musim bunga tahunan mereka pada Isnin dengan dua kali ganda bilangan tentera yang mengambil bahagian berbanding 2023.

Tentera Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan berkata tindakan memperbesarkan latihan adalah untuk meningkatkan kesiapsiagaan mereka bagi bertindak balas terhadap ancaman nuklear yang semakin meningkat dari Pyongyang.

Pihak sekutu berkata 'Freedom Shield' atau 'Perisai Kebebasan' akan membabitkan 48 latihan lapangan, latihan pemintasan peluru berpandu, pengeboman, serangan udara dan tembakan langsung.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Utara yang tidak disebutkan namanya menggesa Seoul dan Washington menghentikan latihan perang yang melulu dan terburu-buru.

Dalam satu kenyataan disiarkan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), jurucakap berkata Pyongyang mengecam sekeras-kerasnya latihan ketenteraan AS dengan Korea Selatan dan memberi amaran keras kepada mereka untuk menghentikan langkah seterusnya yang mencetuskan provokasi serta ketidakstabilan.

"AS dan Korea Selatan akan menerima padahnya kerana tersalah membuat pilihan walaupun menyedari tindakan mereka itu meningkatkan lagi rasa kurang selamat dalam kalangan mereka sendiri," katanya.

Korea Utara telah lama mengutuk latihan ketenteraan bersama AS-Korea Selatan, dengan menggelarkan latihan itu sebagai satu pencerobohan.

Korea Utara pula kerap menjalankan ujian senjata pada masa lalu sebagai tindak balas kepada latihan bersama AS-Korea Selatan sebelum ini.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, bulan lalu mengulangi bahawa Pyongyang tidak akan teragak-agak untuk 'menamatkan' Korea Selatan jika diserang dan menggelar Seoul sebagai musuh negara nombor satu yang paling berbahaya.

Pada Januari lalu, Korea Utara melepaskan tembakan artileri berhampiran dua pulau di sempadan Korea Selatan, mendorong latihan tembakan langsung oleh Korea Selatan dan perintah pemindahan untuk penduduk.

Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol, berikrar akan bertindak balas tegas jika Pyongyang menyerang, mengerah tenteranya untuk 'bertindak dulu, lapor kemudian' jika berdepan ancaman.

Beliau juga menjamin Seoul akan membalas sebarang ancaman dengan berkali ganda lebih kuat sekiranya berlaku serangan. - AFP

Berita Harian X