Isnin, 4 March 2024 | 11:25am
Penduduk Palestin memeriksa kerosakan pada rumah yang musnah akibat serangan terbaharu Israel di Rafah, selatan Semenanjung Gaza, mengakibatkan kematian 14 sekeluarga termasuk sepasang bayi kembar yang baharu lahir. - Foto REUTERS
Penduduk Palestin memeriksa kerosakan pada rumah yang musnah akibat serangan terbaharu Israel di Rafah, selatan Semenanjung Gaza, mengakibatkan kematian 14 sekeluarga termasuk sepasang bayi kembar yang baharu lahir. - Foto REUTERS

Gaza terus dibedil Israel ketika rundingan damai di Kaherah

GAZA: Rakyat Palestin berdepan krisis kekurangan makanan yang mendesak dan bedilan bertubi-tubi tentera Israel dalam pertempuran berterusan di wilayah Palestin ketika rundingan damai berjalan di Kaherah, Mesir.

Dalam serangan terbaharu, Israel bertindak membedil trak bantuan di Gaza sehingga mengorbankan beberapa orang, namun pihak tentera menafikan trak itu membawa bantuan.

Media dalam talian Israel, Ynet, semalam melaporkan Israel memboikot rundingan gencatan senjata Gaza di Kaherah pada Sabtu selepas Hamas menolak tuntutan menyenaraikan semua nama tebusan yang masih hidup.

Delegasi Hamas dilaporkan sudah tiba untuk rundingan di Kaherah, yang sebelum ini disifatkan sebagai halangan terakhir bagi mencapai persetujuan menghentikan perang selama enam minggu.

Bagaimanapun, Ynet, yang juga portal dalam talian bagi akhbar Israel, Yedioth Ahronoth, melaporkan tiada delegasi Israel yang hadir sehingga petang Sabtu lalu.

Ia turut memetik kenyataan pegawai Israel bahawa Hamas enggan memberikan jawapan yang jelas. Justeru, tiada keperluan bagi Israel menghantar delegasi.

Semalam, utusan Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Hamas tiba di Kaherah, dalam usaha terbaru ke arah gencatan senjata selama enam minggu dan meningkatkan penghantaran bantuan serta pertukaran tebusan untuk tahanan Palestin.

Hamas menuntut tentera Israel berundur sepenuhnya dari Semenanjung Gaza selepas hampir lima bulan melancarkan peperangan yang dahsyat.

Israel bagaimanapun mengumumkan tiada rancangan untuk menyertai rundingan Mesir dan menuntut Hamas menyediakan senarai kesemua 130 tawanan, termasuk lebih 30 orang yang dikhuatiri mati.

Pelarian Palestin berlari mendapatkan bungkusan bantuan kemanusiaan yang digugurkan dari udara oleh pesawat tentera Amerika Syarikat di Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Pelarian Palestin berlari mendapatkan bungkusan bantuan kemanusiaan yang digugurkan dari udara oleh pesawat tentera Amerika Syarikat di Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Semalam, seorang wartawan melaporkan berlaku beberapa serangan udara di Rafah, selatan Semenanjung Gaza dan Khan Yunis.

Terdahulu, jurucakap Kementeriam Kesihatan Palestin, Ashraf al-Qudra berkata, seramai 90 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kematian keseluruhan perang sebanyak 30,410 mangsa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Dua daripada mangsa terbaharu, adalah bayi kembar Naeem dan Wissam Abu Anza, yang dikebumikan semalam.

Saksi memberitahu penduduk menggali runtuhan bangunan dengan tangan bagi mencari mayat dan menyelamatkan bekalan makanan yang terhad.

Tentera Israel menahan lelaki Palestin ketika serbuan di kem pelarian Al-Amari dekat Ramallah, tebing Barat yang diduduki. - Foto AFP
Tentera Israel menahan lelaki Palestin ketika serbuan di kem pelarian Al-Amari dekat Ramallah, tebing Barat yang diduduki. - Foto AFP

"Kesemua mereka sedang tidur apabila rumah terkena bedilan peluru berpandu dan memusnah keseluruhannya termasuk meragut nyawa 14 sekeluarga," katanya.

Bulan Sabit Merah Palestin berkata pasukannya memindahkan lima mangsa terkorban dan empat yang cedera selepas dron Israel menyasarkan trak berkenaan

Ketika dihubungi mengenai kejadian itu, pihak tentera Israel berkata: "Ia bukan trak bantuan", namun tidak memberikan penjelasan secara terperinci.

Sekurang-kurangnya 16 kanak-kanak meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan sejak beberapa hari lalu ketika kebuluran merebak di utara Gaza manakala pejabat media kerajaan Palestin melaporkan serangan kereta kebal di utara Gaza.

Orang ramai bergegas bagi membantu remaja Palestin yang cedera dalam operasi pengeboman tentera Israel di tengah Bandar Gaza. - Foto AFP
Orang ramai bergegas bagi membantu remaja Palestin yang cedera dalam operasi pengeboman tentera Israel di tengah Bandar Gaza. - Foto AFP

Pihak tentera Israel berkata serangan itu menghentam kira-kira 50 sasaran termasuk 'infrastruktur pengganas bawah tanah'.

Seorang pegawai AS memberitahu wartawan lewat Sabtu lalu bahawa 'sudah ada kerangka persetujuan' untuk gencatan senjata yang mungkin boleh bermula hari ini jika 'Hamas sedia membebaskan tebusan warga emas, wanita dan mereka yang kurang sihat'.

"Pada dasarnya, pihak Israel sudah boleh menerimanya dan jika semua berjalan lancar, mungkin akan ada perjanjian gencatan senjata dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang," katanya.

Bagaimanapun, seorang pegawai Hamas yang berpangkalan di Lubnan, Osama Hamdan berkata, mereka mahu gencatan senjata penuh, bukannya 'sementara', dan 'pencerobohan terhadap rakyat Palestin ditamatkan'.

Perdana Menteri, Israel Benjamin Netanyahu, setakat ini menolak penarikan keluar tentera dari Gaza sebelum Hamas dimusnahkan dan semua tebusan dibebaskan.- AFP

Berita Harian X