Isnin, 4 March 2024 | 10:34am
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Polis India tahan 3 suspek disyaki rogol pelancong asing

BENGALURU: Polis India sudah menahan tiga suspek dan memburu empat lagi yang dituduh menyerang dua pelancong asing dan merogol mangsa wanita secara bergilir-gilir di negeri Jharkhand, menurut pihak berkuasa dan pasangan mangsa terbabit.

Polis menemui pasangan warga Sepanyol itu sekitar jam 11 malam waktu tempatan pada Jumaat di tepi jalan dalam keadaan cedera akibat dipukul, kata Superintendan Polis Dumka, di timur India, Pitamber Singh Kherwar, kepada pemberita pada Sabtu lalu.

"Salah seorang suspek yang ditahan mendedahkan nama suspek lain yang terlibat kepada pihak berkuasa dan makmal sains forensik membantu kami melakukan sisatan," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran mengenai jenayah terbabit atau mendedahkan identiti mangsa, selain berkata dua mangsa membuat aduan polis terhadap perbuatan jenayah membabitkan tujuh lelaki.

Pasangan mangsa berkenaan, yang memperkenalkan diri sebagai Vicente dan Fernanda kepada stesen televisyen Sepanyol, Antena 3, dalam temu bual menerusi video pada Sabtu, mengesahkan Fernanda dirogol dan Vicente dipukul berulang kali.

Menurut pasangan itu, mereka berkhemah di kawasan di mana mereka diserang kerana tidak berjaya mendapatkan hotel berdekatan.

"Mereka merogol saya secara bergilir dengan ada antara mereka memerhatikan dan ini nerlarutan selama sekitar dua jam," kata Fernanda yang memiliki kewarganegaraan berkembar Brazil-Sepanyol, dalam temu bual terbabit.

Awal minggu ini, pasangan berkenaan menyiarkan video menceritakan apa yang berlaku dalan akaun Instagram bersama mereka, di mana mereka memaparkan imej mengenai pengembaraan mereka mengelilingi dunia menunggang motorsikal kepada hampir 200,000 pengikut tetapi video berkenaan sudah dikeluarkan.

Difahamkan, pengalaman menakutkan itu menimpa pasangan berkenaan selepas mereka sudah mengembara ke 63 negara dan menempuh perjalanan sejauh 170,000 kilometer.

Dalam video baharu, Vicente dan Fernanda, yang tampil dengan muka yang cedera, berterima kasih kepada pengikut mereka atas sokongan yang diberikan.

Kementerian Luar Sepanyol berkata pihaknya sudah menghantar pegawai ke kawasan berkenaan dan berhubungan dengan pihak berkuasa manakala Kementerian Luar Brazil sudah menghubungi pasangan itu menerusi kedutaannya di New Delhi bagi memberi sebarang bantuan. - REUTERS

Berita Harian X