Ahad, 3 March 2024 | 5:02pm
Shehbaz Sharif dipilih sebagai Perdana Menteri Pakistan buat kali kedua selepas memenangi pilihan raya negara itu, tiga minggu lalu. - REUTERS
Shehbaz Sharif dipilih sebagai Perdana Menteri Pakistan buat kali kedua selepas memenangi pilihan raya negara itu, tiga minggu lalu. - REUTERS

Shehbaz Sharif dipilih Perdana Menteri Pakistan kali kedua

ISLAMABAD: Shehbaz Sharif hari ini dipilih oleh Parlimen Pakistan sebagai Perdana Menteri buat kali kedua, tiga minggu selepas pilihan raya yang menghasilkan keputusan samar hingga menyebabkan kelewatan dalam pembentukan kerajaan gabungan.

"Shehbaz Sharif dipilih sebagai perdana menteri Pakistan," kata Pengerusi Dewan Rakyat, Ayaz Sadiq, selepas mengumumkan Sharif mendapat 201 undi, melebihi undi yang diperlukan iaitu 169 undi.

Sharif menewaskan Omar Ayub, calon disokong bekas Perdana Menteri yang dipenjara, Imran Khan, yang mendapat 92 undi.

Pengisytiharan itu disambut dengan protes daripada parti Sunni Ittehad Council (SIC) yang disokong Khan. Ahli Parlimen meminta pembebasan Khan dan meluahkan slogan yang mendakwa Sharif mendapat kuasa melalui penipuan pilihan raya.

Pilihan raya pada 8 Februari lalu dicemari sekatan internet mudah alih, penahanan dan keganasan ketika proses persediaan dan kelewatan keputusan yang jarang berlaku, sekali gus menimbulkan tuduhan wujud penipuan dalam pilihan raya berkenaan.

Sharif kembali menjawat jawatan disandang sehingga Ogos tahun lalu apabila parlimen dibubarkan menjelang pilihan raya dan kerajaan sementara mengambil alih.

Tiada parti tunggal memenangi majoriti.

Sharif, 72, adalah adik kepada bekas Perdana Menteri tiga kali, Nawaz Sharif, yang memimpin kempen pilihan raya parti Pakistan Muslim League-Nawaz (PML-N).

Calon yang disokong oleh Khan mendapat kebanyakan kerusi tetapi PML-N dan Pakistan Peoples Party (PPP) bersetuju membentuk kerajaan gabungan yang membolehkan Shehbaz Sharif dipilih sebagai perdana menteri apabila abangnya berundur. - REUTERS

Berita Harian X