Sabtu, 2 March 2024 | 8:49am
Rakyat Palestin membawa mayat mangsa terbunuh dalam pengeboman Israel, selepas ditemui di bawah runtuhan rumah di Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 1 Mac 2024. - Foto AFP
Rakyat Palestin membawa mayat mangsa terbunuh dalam pengeboman Israel, selepas ditemui di bawah runtuhan rumah di Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 1 Mac 2024. - Foto AFP

Hamas, kumpulan Palestin lain sepakat perangi rejim Zionis

GAZA: Beberapa kumpulan Palestin termasuk Hamas dan Fatah semalam sepakat meneruskan 'tindakan perpaduan' dalam berdepan Israel selepas wakil mereka bertemu dalam rundingan ditaja Russia.

Pertemuan di Moscow, kelmarin menghimpunkan pemimpin Hamas, Jihad Islam, Fatah serta kumpulan Palestin lain untuk berbincang mengenai perang di Gaza dan tempoh selepas perang.

Ia susulan peletakan jawatan kerajaan Pihak Berkuasa Palestin, diketuai Fatah yang berpusat di Tebing Barat diduduki.

Perdana Menteri, Mohammad Shtayyeh turut meminta konsensus intra-Palestin ketika mengumumkan peletakan jawatan dan beberapa penganalisis berkata, perkembangan itu boleh membuka jalan kepada kerajaan teknokrat yang dikendalikan Hamas, yang boleh beroperasi di Tebing Barat dan Gaza selepas perang.

Pemimpin Arab dan Barat sebelum ini juga mendesak pembaharuan kepada Pihak Berkuasa Palestin ketika mereka membincangkan kemungkinan usaha pembinaan semula.

Satu kenyataan oleh beberapa kumpulan Palestin di Moscow, semalam berkata, terdapat 'dialog akan datang' untuk membawa mereka di bawah panji-panji Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Kenyataan itu juga menyebut, rundingan 'membina' pada kelmarin itu juga menyaksikan persetujuan mengenai perkara termasuk keperluan untuk pengunduran tentera Israel dari Gaza dan kewujudan negara Palestin.

Walaupun Hamas dan Jihad Islam dianggap sebagai entiti 'pengganas' oleh kuasa Barat, PLO diiktiraf di peringkat antarabangsa mewakili rakyat Palestin di wilayah dan diaspora Palestin.

Sudah ada perbincangan mengenai persepaduan Hamas ke dalam PLO dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bagaimanapun ia berakhir dengan kegagalan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini juga, Moscow berusaha mengekalkan hubungan baik dengan semua pihak dalam konflik Israel-Palestin, termasuk Fatah dan Hamas.

Hubungan Russia dengan Israel bagaimanapun menjadi tegang susulan kritikan Moscow terhadap tindakan Israel di Gaza dan penolakan negara Palestin.

Peperangan di Gaza dicetuskan serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel yang mengakibatkan kematian kira-kira 1,160 orang. Namun, sekurang-kurangnya 30,228 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak pula terbunuh dalam serangan balas tentera Israel di Gaza.

Berita Harian X