Khamis, 29 Februari 2024 | 10:28pm
Rakyat Palestin berkumpul ketika mereka menunggu trak yang membawa beg tepung tiba, berhampiran pusat pemeriksaan Israel, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas, di Gaza. - Foto REUTERS
Rakyat Palestin berkumpul ketika mereka menunggu trak yang membawa beg tepung tiba, berhampiran pusat pemeriksaan Israel, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas, di Gaza. - Foto REUTERS

Israel tembak 104 yang menunggu bantuan berhampiran Bandar Gaza

KAHERAH: Pihak Berkuasa Kesihatan di Gaza hari ini berkata, bedilan Israel ke atas orang yang menunggu bantuan berhampiran Bandar Gaza mengakibatkan 104 rakyat Palestin terbunuh serta mencederakan 280 yang lain.

Dalam pada itu, sebuah hospital menyatakan pihaknya menerima 10 mayat dan berpuluh-puluh pesakit yang cedera.

Jurucakap tentera Israel bagaimanapun berkata, pihaknya tidak tahu mengenai bedilan di lokasi yang dinyatakan.

Tentera kemudian berkata, berpuluh-puluh orang cedera akibat ditolak dan dipijak apabila trak bantuan tiba di utara Gaza.

Sumber Israel berkata, tentera melepaskan tembakan ke arah 'beberapa orang' dalam kumpulan yang menimbulkan ancaman kepada mereka.

Pejabat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, berkata beliau mengutuk pembunuhan jelik beramai-ramai yang dilakukan oleh tentera Israel pagi tadi terhadap orang ramai yang menunggu trak bantuan di bulatan Nabulsi.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra, berkata kejadian itu berlaku di bulatan Al-Nabusi di barat Bandar Gaza di bahagian utara kawasan berkenaan.

Menurut Qidra, pasukan perubatan tidak dapat menampung jumlah dan kecederaan teruk daripada berpuluh-puluh orang yang cedera yang tiba di Hospital Al-Shifa.

Ketua Hospital Kamal Adwan di Bandaraya Gaza, Hussam Abu Safieyah, berkata pihaknya menerima 10 mayat dan berpuluh-puluh pesakit yang cedera akibat insiden di barat bandar itu.

"Kami tidak tahu berapa ramai pesakit tiba di hospital lain," katanya kepada Reuters melalui telefon.

Dalam pada itu, Hamas dalam satu kenyataan memberi amaran, insiden itu boleh membawa kepada kegagalan rundingan yang bertujuan mencapai kesepakatan gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

"Rundingan yang dijalankan oleh kepimpinan gerakan itu bukan proses terbuka dengan mengorbankan darah rakyat kita," katanya yang merujuk kepada kematian hari ini dan mengatakan Israel akan bertanggungjawab atas sebarang kegagalan rundingan itu.

Peperangan di Gaza bermula apabila Hamas menghantar pejuang ke Israel pada 7 Oktober hingga mengakibatkan kira-kira 1,200 orang terbunuh dan selain 253 lain dijadikan tebusan, menurut pengiraan Israel.

Sementara pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata, 30,000 orang disahkan terbunuh di enklaf itu dan sejak itu dengan beribu-ribu yang lain dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.

Video yang disiarkan di media sosial menunjukkan trak membawa banyak mayat.

Reuters mengesahkan lokasi satu video bulatan Al-Nabulsi yang menunjukkan beberapa lelaki kelihatan tidak bergerak, serta beberapa lain cedera.

Satu lagi video yang tidak dapat disahkan oleh Reuters, menunjukkan ramai berlumuran darah sedang diusung dalam trak, dengan pasukan perubatan merawat orang di atas lantai hospital dengan kelihatan banyak mayat dibaluti kain kafan.

"Kami tidak mahu bantuan seperti ini. Kami tidak mahu bantuan bersama dengan bersama peluru.

"Terdapat ramai yang mati syahid," kata seorang lelaki dalam sebuah video.

Merujuk kepada kejadian itu, seorang jurucakap tentera Israel berkata, pihaknya tiada maklumat mengenai serangan Israel di kawasan itu." - REUTERS

Berita Harian X