Khamis, 29 Februari 2024 | 9:32pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Sekurang-kurangnya 24 maut kapal bawa pendatang karam di Senegal

SAINT-LOUIS: Sekurang-kurangnya 24 orang yang dalam perjalanan ke Eropah lemas di utara Senegal apabila kapal dinaiki mereka karam, kata gabenor wilayah Saint Louis kepada AFP hari ini.

Gabenor Alioune Badara Samb, berkata 24 mayat ditemui sejak semalam apabila bot itu mengalami kesukaran di bahagian yang sangat berbahaya di pantai utara.

Beliau berkata, 21 lagi penumpang itu diselamatkan.

Muara Saint Louis yang menjadi titik pertemuan Sungai Senegal dan Lautan Atlantik terkenal dengan arus deras dan kawasan lumpur tebal.

Bagaimanapun, Samb tidak menyatakan bilangan penumpang masih hilang dari bot itu, yang menurut saksi mungkin membawa lebih 300 orang.

Katanya, bilangan mangsa yang terselamat berjaya sampai ke pantai dan menyusup masuk dalam kalangan penduduk tempatan di tebing laut menyukarkan pihaknya menyatakan bilangan tepat berapa ramai terbabit.

Mamady Dianfo yang terselamat dari selatan Casamance, memberitahu AFP, lebih 300 orang berada di atas bot ketika ia meninggalkan Senegal seminggu lalu.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, Alpha Balde, menganggarkan terdapat lebih 200 penumpang.

Dianfo 'memaklumkan, bot itu tiba di Maghribi yang terletak lebih jauh ke utara pantai, namun kapten kemudian berkata, dia sesat dan tidak dapat lagi meneruskan perjalanan.

"Kami memintanya bertapak balik ke Senegal," katanya.

Sementara itu, Presiden Sinegal, Macky Sall hari ini menyatakan, kesedihan mendalam berikutan 'insiden karam tragis' menerusi platform mesej di X, sebelum ini dikenali Twitter.

Beliau berkata, pihak berkuasa berkaitan sudah dikerahkan untuk menawarkan sokongan dan bantuan.

Pantai Senegal adalah tempat berlepas yang semakin biasa bagi orang Afrika melarikan diri dari kemiskinan dan pengangguran dan menuju ke Kepulauan Canary, pelabuhan yang menjadi pintu masuk mereka ke Eropah.

Agensi sempadan Kesatuan Eropah Frontex, berkata Senegal dan Maghribi adalah negara asal yang paling biasa bagi pendatang yang tiba di kepulauan Sepanyol di Atlantik.

Daripada lebih 6,600 pendatang yang meninggal dunia atau hilang ketika cuba sampai ke Sepanyol tahun lalu, sebahagian besarnya hilang di laluan Atlantik yang berbahaya, menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sepanyol Caminando Fronteras. - AFP

Berita Harian X