Rabu, 28 Februari 2024 | 3:28pm
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un (tengah) memeriksa kilang pengeluaran kenderaan perang tentera di lokasi rahsia di Korea Utara. - Foto AFP
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un (tengah) memeriksa kilang pengeluaran kenderaan perang tentera di lokasi rahsia di Korea Utara. - Foto AFP

Jong-un hantar 6,700 kontena senjata, peluru kepada Putin

SEOUL: Korea Utara secara rahsia sudah menghantar kontena yang boleh memuatkan berjuta-juta peluru meriam ke Russia, menurut seorang pegawai tertinggi Korea Selatan.

Bekalan itu membolehkan Presiden Russia, Vladimir Putin, meneruskan serangannya ke atas Ukraine, ketika stok peluru Kyiv pula dilapor semakin berkurangan.

Menteri Pertahanan Korea Selatan, Shin Won-sik memberitahu pemberita bahawa Korea Utara sudah menghantar kira-kira 6,700 kontena senjata dan peluru ke Russia.

Malah, kekerapan penghantaran dan jumlah peluru serta senjata turut bertambah sejak Putin mengadakan sidang kemuncak bersama pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada September 2023.

Won-sik berkata, kontena itu boleh memuatkan kira-kira tiga juta butir peluru 152 mm.

Sebagai balasan, katanya, Russia membekalkan makanan, bahan mentah dan bahagian serta alat ganti yang digunakan dalam pembuatan senjata kepada Korea Utara.

Tambah beliau, bantuan makanan itu sudah membantu Jong-un dalam usaha untuk menstabilkan harga barangan keperluan di negaranya.

"Jika pemindahan senjata berterusan, Russia bersedia untuk menghantar lebih banyak teknologi ketenteraan kepada Jong-un, yang berupaya meningkatkan kekuatan tentera Pyongyang, sekali gus boleh mengancam keselamatan serantau," katanya.

Ketika perdagangan senjata antara Korea Utara-Russia meningkat sejak pencerobohan terhadap Ukraine, yang kini sudah memasuki tahun ketiga, aliran bantuan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) ke Kyiv pula semakin terancam.

Selain itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pada minggu ini memaklumkan, Kesatuan Eropah (EU) hanya menghantar kira-kira 30 peratus daripada jumlah satu juta peluru meriam yang dijanjikan untuk diberikan kepada Kyiv menjelang Mac.

Pemimpin Ukraine itu berkata, negaranya percaya Korea Utara sudah memindahkan 1.5 juta peluru meriam ke Russia dan jumlah peluru berpandu yang tidak diketahui, sambil menambah Pyongyang bersedia untuk terus menyediakan senjata untuk Russia.

Biarpun Korea Utara dan Russia menafikan sebarang pemindahan senjata, imej satelit komersial menunjukkan kira-kira empat kapal kargo berulang-alik antara pelabuhan Najin di Korea Utara berhampiran sempadan Russia dan pelabuhan Dunay, bekas pelabuhan kapal selam Soviet, yang berkedudukan kira-kira 180 kilometer (km) jauhnya.

Pemindahan peluru berpandu balistik, artileri dan peralatan ketenteraan lain oleh Pyongyang bagi mengekalkan pencerobohan Putin di Ukraine memberi kejutan kepada ekonomi.

Ini membolehkan Jong-un menolak penglibatan Amerika Syarikat (AS) bagi tahun-tahun akan datang dan pada masa sama, meningkatkan keupayaannya untuk menggunakan satelit pengintip serta membangunkan program senjata nuklearnya.

Ekonomi tahunan Korea Utara adalah kira-kira AS$25 bilion (RM118 bilion), menurut anggaran bank pusat Korea Selatan, yang mana negara itu sangat memerlukan makanan, minyak, bahan binaan serta wang tunai untuk perdagangan antarabangsa.

Senjata yang diberikan Jong-un kepada Russia mungkin bernilai berbilion dolar, dan sokongan yang diterima daripada Putin mungkin mewakili beberapa keuntungan terbesar pernah dilihat Jong-un sejak beliau mengambil alih kuasa kira-kira 12 tahun lalu. - AGENSI

Berita Harian X