Rabu, 28 Februari 2024 | 1:29pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

7 dihukum mati di Arab Saudi kerana keganasan

RIYADH : Arab Saudi menjatuhkan hukuman mati ke atas tujuh individu yang disabitkan dengan kesalahan berkaitan keganasan, angka hukuman mati harian tertinggi sejak 81 dihukum mati pada Mac 2022, menurut media kerajaan.

Agensi media Arab Saudi, yang memetik Kementerian Dalam Negeri, melaporkan tujuh individu itu didapati bersalah selepas menubuhkan serta membiayai pertubuhan dan entiti pengganas.

Arab Saudi sudah mensabitkan hukuman bunuh ke atas 29 individu pada dua bulan pertama tahun ini, sementara pada tahun lalu, 170 individu disabit dengan hukuman itu.

Kerajaan itu, yang terkenal dengan hukuman penggal kepala, pernah mendapat kecaman dari seluruh dunia ekoran sabitan 81 hukuman mati dalam sehari pada 2022.

Warganegara tujuh individu yang dihukum mati pada Selasa tidak didedahkan, namun nama dan gelaran menunjukkan mereka adalah warga Arab Saudi.

Agensi itu melaporkan, mereka disabitkan bersalah kerana mengguna pakai pendekatan keganasan yang memaksa pertumpahan darah, selain terbabit dalam menubuhkan serta membiayai pertubuhan dan entiti pengganas.

Selain itu, individu berkenaan disabitkan selepas berkomunikasi serta berurusan dengan entiti pengganas dengan tujuan mengganggu keselamatan dan kestabilan masyarakat sehingga membahayakan keselamatan negara.

Laporan itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai tuduhan terhadap mereka.

Naib Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Arab Saudi, Adel al-Saeed, mengecam apa yang dikatakannya sebagai tuduhan tidak jelas dan longgar di sebalik hukuman mati itu.

"Kenyataan pihak berkuasa tidak menamakan pertubuhan pengganas yang dituduh mereka sebagai ahlinya, bentuk sebenar jenayah dilakukannya atau peranan mangsa dalam jenayah terbabit," katanya.

Badan hak asasi antarabangsa, Amnesty International pula menyatakan, pada 2022, Arab Saudi menghukum mati lebih ramai orang berbanding negara lain seperti China dan Iran.

Sementara mereka yang dihukum mati pada tahun lalu termasuk 33 orang yang dituduh melakukan jenayah berkaitan keganasan dan dua tentera yang disabitkan dengan pengkhianatan.

Terdapat 38 sabitan hukuman mati dikenakan pada Disember lalu, bulan menyaksikan hukuman mati paling tinggi sepanjang 2023.

Pihak berkuasa Arab Saudi menganggap hukuman mati perlu bagi menjaga ketenteraman awam dan serasi dengan tafsiran mereka terhadap undang-undang syariah, kod perundangan Islam yang berdasarkan ajaran al-Quran.

Aktivis berkata, tindakan berterusan kerajaan terhadap hukuman mati menjejaskan usaha pemerintah dipimpin Putera Mahkota Mohammed bin Salman, untuk mengubah imej negaranya sebagai pengeksport minyak mentah terbesar dunia kepada hab perniagaan dan pelancongan.

Aktivis berpendapat, hukuman mati itu menjejaskan imej masyarakat yang lebih terbuka dan bertolak ansur serta menjadi teras kepada agenda reformasi Wawasan 2030 yang dibawa Putera Mohammed. - AFP

Berita Harian X