Sabtu, 24 Februari 2024 | 10:16am
Pelarian kanak-kanak Palestin menghadiri kelas membaca al-Quran di ‘sekolah’ Bear al-Saba di Rafah, selatan Semenanjung Gaza, yang bangunannya musnah dalam serangan Israel. - Foto AFP
Pelarian kanak-kanak Palestin menghadiri kelas membaca al-Quran di ‘sekolah’ Bear al-Saba di Rafah, selatan Semenanjung Gaza, yang bangunannya musnah dalam serangan Israel. - Foto AFP

Israel mahu kawal Gaza sepenuhnya selepas perang

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mencadangkan pelan pasca perang untuk Gaza yang membayangkan pentadbiran di bawah kawalan Israel tanpa hubungan dengan Hamas atau penyokong asingnya.

Cadangan itu, yang ditolak oleh Hamas dan Pihak Berkuasa Palestin (PA), diusulkan kepada Kabinet keselamatan Netanyahu pada lewat kelmarin dan akan menyaksikan perang terhadap Hamas berterusan sehingga ia mencapai matlamat utama.

Menurut cadangan yang dilihat oleh AFP, ia termasuk operasi membongkar kubu Hamas dan Jihad Islam serta memastikan pembebasan semua tebusan yang masih ditahan di Gaza.

Selepas perang tamat, hal ehwal sivil Gaza akan dikendalikan oleh 'pegawai tempatan berpengalaman pentadbiran' dan 'tidak dikaitkan dengan negara atau entiti menyokong keganasan'.

Menurut rancangan itu, walaupun selepas perang, tentera Israel akan mempunyai 'kebebasan yang tidak terbatas' untuk beroperasi di seluruh Gaza bagi menghalang sebarang kebangkitan semula aktiviti keganasan.

"Pelan itu menyatakan, Israel akan bergerak ke hadapan dengan projeknya yang sedia ada untuk mewujudkan zon penampan keselamatan di sebelah Palestin di Semenanjung Gaza," katanya, yang menjelaskan penambahan zon itu akan kekal 'selagi terdapat keperluan keselamatan'.

Pegawai Hamas yang berpangkalan di Beirut, Osama Hamdan, semalam turut mengecam rancangan itu dan mengatakan ia 'tidak akan berjaya' dan akan ditentang habis-habisan.

Beliau berkata, rancangan itu menunjukkan bahawa Netanyahu 'benar-benar enggan mengiktiraf negara Palestin' dan 'berkeras untuk memisahkan Tebing Barat, Gaza, Baitulmaqdis dan Tebing Barat'.

"Ini bermakna rancangan sebenar entiti ini (Israel) adalah untuk merampas tanah Palestin dan memecah-belahkannya," kata Hamdan.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken pula berkata, beliau hanya akan memberi pandangan selepas melihat semua butiran, namun kekal mengatakan 'tidak sepatutnya ada pendudukan semula Israel di Gaza'.

"Saiz wilayah Gaza tidak harus dikurangkan, kembalikan wilayah Palestin seperti mana yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa," katanya.

AS sebelum ini menyokong gesaan Netanyahu untuk menghapuskan Hamas, yang mengawal Gaza, tetapi tetap menggesa PA yang diketuai oleh Mahmoud Abbas di Tebing Barat yang diduduki, mengambil alih kawalan di Gaza secara beransur-ansur.

Melalui pelan yang dicadangkan itu, ia juga membayangkan kawalan keselamatan Israel 'seluruh kawasan barat Jordan' dari darat, laut dan udara.

Alasan diberi regim Zionis adalah 'untuk menghalang pengukuhan unsur pengganas di (Tebing Barat yang diduduki) dan Semenanjung Gaza selain untuk menggagalkan ancaman terhadap Israel'.

Pelan itu dilihat membayangkan tidak akan ada langsung aktiviti ketenteraan atau pihak berkuasa selain apa yang diperlukan bagi mengekalkan ketenteraman awam di Gaza.

Ia juga adalah bertujuan untuk menggalakkan 'penghapusan radikalisasi dalam semua institusi agama, pendidikan dan kebajikan di Gaza'.

Elemen utama rancangan itu ialah pembongkaran agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin atau UNRWA, yang Israel mendakwa beberapa pekerjanya mengambil bahagian dalam serangan 7 Oktober ke atas Israel.

Pelan itu turut mempunyai elemen mengenai sempadan Mesir-Gaza, yang dibelenggu oleh penyeludupan, dengan syor penguatkuasaan 'penutupan selatan' di sempadan untuk menghalang kebangkitan semula keganasan atau aktiviti penyeludupan.

Semalam, jurucakap Abbas, Nabil Abu Rudeineh, yang dipetik agensi berita rasmi Palestin, Wafa, turut menyelar rancangan itu.

Beliau menegaskan Gaza hanya akan menjadi sebahagian daripada negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya.

"Sebarang rancangan yang bertentangan pasti akan gagal. Israel tidak akan berjaya dalam percubaan untuk mengubah realiti geografi dan demografi di Semenanjung Gaza.

"Jika dunia mahukan keamanan di wilayah ini, pendudukan haram Israel di bumi Palestin harus segera ditamatkan dan iktiraf negara Palestin yang merdeka," katanya.

Netanyahu sudah lama memutuskan hubungan dengan PA dan Parlimen Israel pada Rabu lalu sudah menetapkan pendirian akan membantah sebarang pengisytiharan sebelah pihak mengenai penubuhan negara Palestin. - AFP

Berita Harian X