Selasa, 20 Februari 2024 | 9:31pm
Vusimuzi Madonsela (kanan) berkata, Afrika Selatan mempunyai ‘kewajipan khas’ untuk mendedahkan apartheid di mana sahaja ia berlaku. - Foto AGENSI
Vusimuzi Madonsela (kanan) berkata, Afrika Selatan mempunyai ‘kewajipan khas’ untuk mendedahkan apartheid di mana sahaja ia berlaku. - Foto AGENSI

Tindakan Israel ke atas Palestin lebih ekstrem berbanding dialami Afrika Selatan

THE HAGUE: Israel menerapkan versi apartheid (menyisihkan) yang lebih ekstrem di wilayah Palestin berbanding tragedi dialami di Afrika Selatan sebelum 1994, Pretoria memberitahu mahkamah tertinggi dunia hari ini.

"Kami sebagai rakyat Afrika Selatan merasakan, melihat, mendengar dan merasai dasar dan amalan diskriminasi yang tidak berperikemanusiaan rejim Israel sebagai bentuk apartheid lebih ekstrem yang diinstitusikan terhadap orang kulit hitam di negara saya," kata Vusimuzi Madonsela iaitu Duta Afrika Selatan ke Belanda, di mana Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berpusat.

Sebanyak 52 negara diminta memberikan pendapat dan nasihat kepada ICJ dan tidak terikat dengan implikasi undang-undang pendudukan Israel di wilayah Palestin.

"Adalah jelas bahawa pendudukan haram Israel juga ditadbir sebagai melanggar jenayah apartheid... Ia tidak dapat dibezakan daripada penjajahan peneroka. Apartheid Israel mesti ditamatkan," kata Madonsela.

Beliau berkata, Afrika Selatan mempunyai 'kewajipan khas' untuk mendedahkan apartheid di mana sahaja ia berlaku dan memastikan ia 'dibawa ke pengakhiran dengan kadar segera'.

Kes itu berasingan daripada kes berprofil tinggi yang dibawa oleh Pretoria terhadap Israel kerana dakwaan pembunuhan beramai-ramai semasa serangannya di Gaza.

Dalam kes itu, ICJ memutuskan bahawa Israel harus melakukan segala-galanya untuk menghalang tindakan genosid di Gaza dan membenarkan bantuan kemanusiaan.

Perbicaraan dimulakan semalam dengan tiga jam keterangan daripada pegawai Palestin yang menuduh penjajah Israel menjalankan sistem "penjajahan dan apartheid".

Semalam, Menteri Luar Palestin, Riyad Al-Maliki menggesa hakim untuk menamatkan pendudukan 'segera, sepenuhnya dan tanpa syarat. - AFP

Berita Harian X