Selasa, 20 Februari 2024 | 8:01pm
Mahkamah India hari ini menjamin pemimpin kanan pembangkang, Rahul Gandhi dalam kes fitnah yang dihadapkan terhadapnya kerana merujuk kepada menteri dalam negeri sebagai tertuduh pembunuh. - Foto AFP
Mahkamah India hari ini menjamin pemimpin kanan pembangkang, Rahul Gandhi dalam kes fitnah yang dihadapkan terhadapnya kerana merujuk kepada menteri dalam negeri sebagai tertuduh pembunuh. - Foto AFP

Pemimpin pembangkang India dibenarkan ikat jamin

NEW DELHI: Mahkamah India hari ini membenarkan ikat jamin pemimpin kanan pembangkang Rahul Gandhi dalam kes fitnah yang dihadapkan terhadapnya kerana menuduh menteri dalam negeri sebagai tertuduh pembunuh.

Pengkritik menuduh kerajaan India menggunakan sistem keadilan untuk menyasarkan pesaing politik, dengan beberapa tokoh pembangkang menjadi subjek penyiasatan jenayah secara aktif.

Gandhi, 53, menghadapi sekurang-kurangnya 10 kes fitnah lain sehingga hilang kelayakan dalam Parlimen tahun lalu selepas disabitkan dengan jenayah dalam kes yang tidak berkaitan.

Beliau hadir di mahkamah Uttar Pradesh di mana permohonan ikat jaminnya diterima, menurut peguam Santosh Pandey memberitahu pemberita di luar mahkamah.

Kes itu berpunca daripada kenyataan yang dikeluarkan pada tahun 2018 di mana beliau merujuk kepada menteri dalam negeri, Amit Shah yang juga orang kepercayaan Perdana Menteri, Narendra Modi, sebagai 'tertuduh pembunuhan'.

Shah dituduh mengarahkan polis melakukan pembunuhan di luar undang-undang terhadap seorang samseng pada 2005 dan dua lagi semasa berkhidmat sebagai menteri dalam negeri di Gujarat.

Beliau dipenjarakan seketika sebelum dibebaskan daripada tuduhan pembunuhan, peras ugut dan penculikan pada 2014 selepas Modi dan Parti Bharatiya Janata (BJP) yang diwakilinya memenangi pilihan raya tahun itu secara besar-besaran.

Beliau adalah antara muka utama pakatan pembangkang yang ingin mencabar Modi dalam pilihan raya umum tahun ini, dijangka bermula pada April.

Minggu lalu, parti Kongres Gandhi berkata pihak berkuasa membekukan akaun banknya selepas siasatan berhubung penyata cukai 2018 hingga 2019 dan mengeluarkan permintaan pembayaran sebanyak 2.1 bilion rupee (RM121,442, 749) berhubung siasatannya.

Agensi penyiasatan kewangan utama India, Direktorat Penguatkuasaan, sedang menjalankan siasatan ke atas beberapa ahli politik pembangkang terkemuka yang lain. - AFP

Berita Harian X