Selasa, 20 Februari 2024 | 9:03am
Walaupun calon bebas disokong Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) pimpinan bekas Perdana Menteri, Imran Khan memenangi 93 kerusi, parti itu tidak dapat membentuk gabungan dengan parti lain untuk mencapai majoriti mudah. - Foto REUTERS
Walaupun calon bebas disokong Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) pimpinan bekas Perdana Menteri, Imran Khan memenangi 93 kerusi, parti itu tidak dapat membentuk gabungan dengan parti lain untuk mencapai majoriti mudah. - Foto REUTERS

Selepas lebih 10 hari pilihan raya, belum ada kerajaan di Pakistan

KARACHI: Tiga parti politik arus perdana Pakistan masih bergelut untuk memuktamadkan rundingan bagi membentuk kerajaan minoriti selepas pilihan raya umum 8 Februari lalu.

Walaupun gabungan diketuai Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) mempunyai peluang lebih tinggi untuk membentuk kerajaan baharu bagi penggal lima tahun selepas mendapat sokongan ahli Parlimen yang baru dilantik, ia memerlukan majoriti mudah di Dewan Negara.

Gabungan itu terdiri daripada PML(N), Parti Rakyat Pakistan (PPP) iaitu parti bekas menteri luar, Bilawal Bhutto Zardari dan beberapa parti, dengan menamakan bekas Perdana Menteri, Shehbaz Sharif sebagai calon bagi jawatan itu untuk penggal kedua.

PPP mengumumkan untuk menyokong Sharif bagi jawatan perdana menteri, tetapi enggan menyertai Kabinetnya, satu langkah yang tidak dipersetujui oleh PML(N).

Bilawal, ketika perhimpunan awam di wilayah Sindh selatan pada Ahad, mengulangi pendirian partinya bahawa penggubal undang-undang PPP tidak akan menyertai Kabinet.

Kedua-dua pihak masih belum bersetuju mengenai perkara terakhir," kata Senator Ishaq Dar, seorang pemimpin PML (N) yang mengetuai rundingan itu, dalam satu kenyataan pada Ahad yang disiarkan di X.

"Rundingan sedang dijalankan mengenai pelbagai cadangan untuk perkongsian kuasa," katanya yang dipetik Agensi Anadolu.

Pilihan raya 8 Februari yang penting, dicemari dengan keganasan dan tuduhan penipuan, mengakibatkan Parlimen digantung, menyaksikan tanpa parti memperoleh dua pertiga kerusi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, mencetuskan saingan sengit untuk membentuk gabungan.

Menurut pengiraan terkini diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan, gabungan pimpinan PML-N mempunyai kekuatan lebih 150 daripada 266 kerusi Dewan Negara yang dipertandingkan secara langsung.

Untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, sebuah parti memerlukan 134 kerusi langsung, yang boleh dikira sebagai 169 ahli parlimen selepas memperuntukkan ahli kepada kerusi rizab untuk wanita dan minoriti agama dalam Dewan Negara.

PML-N, PPP dan MQM masing-masing mendapat 75, 54 dan 17 kerusi, dalam pilihan raya minggu lalu. Enam penggubal undang-undang bebas juga telah menyertai PML-N, meningkatkan kekuatannya kepada 81.

Walaupun calon bebas yang disokong oleh Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) pimpinan Khan memenangi 93 kerusi, jumlah tertinggi ahli Parlimen, parti itu tidak dapat membentuk gabungan dengan parti lain untuk mencapai majoriti mudah.

Dewan Negara mempunyai 336 kerusi, 60 dikhaskan untuk wanita dan 10 untuk minoriti agama.

Kerusi diagihkan secara berkadar dalam kalangan parti berdasarkan prestasi pilihan raya mereka. Mana-mana parti yang mahu ketuanya menjadi perdana menteri memerlukan 169 undi di Dewan.

PTI semalam mengumumkan calon bebas gabungannya akan bergabung ke dalam Majlis Sunni Ittehad, sebuah parti agama kecil, dalam dewan kebangsaan dan wilayah.

Bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada Majlis Sunni Ittehad telah mengemukakan senarai kerusi simpanan sebelum pilihan raya. Mengikut peraturan, sesebuah parti perlu mengemukakan senarai keutamaan bagi kerusi rizab kepada suruhanjaya pilihan raya dalam tempoh ditetapkan sebelum pengundian.

Berita Harian X