Isnin, 19 Februari 2024 | 7:03pm
Seorang lelaki berjalan di sebelah papan iklan yang memaparkan gambar ahli politik Bilawal Bhutto dan kakaknya Asifa Bhutto, sehari selepas pilihan raya umum di Karachi, Pakistan 9 Februari 2024. - Foto REUTERS
Seorang lelaki berjalan di sebelah papan iklan yang memaparkan gambar ahli politik Bilawal Bhutto dan kakaknya Asifa Bhutto, sehari selepas pilihan raya umum di Karachi, Pakistan 9 Februari 2024. - Foto REUTERS

Dua parti politik Pakistan adakan pertemuan, bincang kerajaan campuran

ISLAMABAD: Dua parti utama Pakistan akan bertemu hari ini bagi merapatkan jurang perbezaan dalam membentuk kerajaan gabungan minoriti selepas pilihan raya yang dilaksanakan sebelum ini gagal memberikan keputusan muktamad.

Penganalisis berkata, negara yang mempunyai 241 juta penduduk itu sedang bergelut dengan krisis ekonomi di tengah-tengah pertumbuhan yang perlahan dan mencatatkan inflasi, di samping peningkatan keganasan militan sehingga memerlukan kerajaan yang stabil dengan kuasa bagi mengambil keputusan yang sukar.

Rundingan itu akan menjadi pusingan kelima seumpama itu selepas bekas Perdana Menteri, Shehbaz Sharif dinamakan oleh partinya Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) untuk memimpin negara itu semula.

"Kedua-dua pihak belum lagi bersetuju mengenai perkara akhir," kata Ishaq Dar, senator parti Sharif, yang mengetuainya dalam rundingan, dalam satu kenyataan yang disiarkan di platform media sosial X, semalam.

"Rundingan sedang dijalankan mengenai pelbagai perkara" untuk perkongsian kuasa, tambahnya.

Parti Rakyat Pakistan (PPP) iaitu parti bekas menteri luar, Bilawal Bhutto Zardari mengumumkan sokongan bersyarat untuk PML-N, mengatakan ia akan mengundi Sharif bagi membentuk kerajaan, tetapi tidak akan mengambil jawatan dalam Kabinet.

"Saya mengesahkan bahawa ia sudah diputuskan secara prinsip bahawa parti politik akan membentuk kerajaan campuran," kata Dar kepada Geo TV.

Sharif, 72, yang juga Perdana Menteri selama 16 bulan dinamakan semula sebagai calon gabungan itu untuk menjadi perdana menteri seterusnya oleh abangnya, Nawaz Sharif, yang juga ketua PML-N. - REUTERS

Berita Harian X