Ahad, 18 Februari 2024 | 8:54pm
UNSC berkemungkinan akan mengundi pada hari Selasa mengenai desakan Algeria supaya badan 15 anggota itu menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera dalam perang Israel-Hamas, kata diplomat. - Foto REUTERS
UNSC berkemungkinan akan mengundi pada hari Selasa mengenai desakan Algeria supaya badan 15 anggota itu menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera dalam perang Israel-Hamas, kata diplomat. - Foto REUTERS

PBB berkemungkinan mengundi gencatan senjata Gaza pada Selasa, AS memberi isyarat veto

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berkemungkinan akan mengundi mengenai desakan Algeria supaya badan 15 anggota itu menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera dalam perang Israel-Hamas pada Selasa ini.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat (AS) melihat ia sebagai isyarat untuk menggunakan kuasa vetonya.

Algeria meminta supaya UNSC mengundi pada hari Selasa dan untuk diterima pakai, resolusi UNSC memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi menyokong dan tiada kuasa veto digunakan AS, Britain, Perancis, China atau Russia.

Sebelum ini Algeria mengemukakan draf resolusi awal lebih dua minggu lalu, tetapi Duta Besar AS ke Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Linda Thomas-Greenfield berkata, teks itu boleh menjejaskan "rundingan sensitif" yang bertujuan untuk menghentikan sementara perang.

"AS tidak menyokong tindakan ke atas draf resolusi ini. Sekiranya ia datang untuk undian seperti yang dirangka, ia tidak akan diterima pakai," kata Thomas-Greenfield.

Washington secara tradisinya melindungi sekutunya Israel daripada tindakan PBB dan sudah dua kali memveto tindakan majlis sejak 7 Oktober lalu.

Ia juga sudah berkecuali dua kali, membenarkan majlis itu menerima pakai resolusi yang bertujuan untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza dan menggesa supaya pertempuran berpanjangan dihentikan.

Rundingan antara AS, Mesir, Israel dan Qatar sedang berlangsung untuk mendapatkan pemberhentian sementara dalam perang dan pembebasan tebusan yang ditahan oleh Hamas.

"Adalah penting bagi pihak lain menjadikan proses ini peluang terbaik untuk berjaya, bukannya menolak langkah yang meletakkannya peluang untuk penyelesaian permusuhan yang berkekalan dalam bahaya," kata Thomas-Greenfield.

Undian yang kemungkinan berlaku itu juga ketika Israel turut merancang untuk menyerbu Rafah di selatan Gaza, di mana lebih daripada sejuta rakyat Palestin mencari perlindungan, mencetuskan kebimbangan antarabangsa bahawa tindakan sedemikian akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza.

"Keadaan di Gaza adalah dakwaan yang mengerikan mengenai kebuntuan dalam hubungan global," kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres kepada Persidangan Keselamatan Munich pada hari Jumaat lalu.

Bagaimanapun jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, Guterres "menuding jari" mengenai kekurangan perpaduan dalam UNSC dan bagaimana kekurangan perpaduan itu menghalang keupayaan anggotanya untuk memperbaiki keadaan di seluruh dunia. - REUTERS

Berita Harian X