Ahad, 18 Februari 2024 | 3:25pm
Pulau terpencil Shihyu di Taiwan dilindungi dengan pancang bagi mencegah kapal mendarat di pantai kepulauan Little Kinmen. - Foto AFP
Pulau terpencil Shihyu di Taiwan dilindungi dengan pancang bagi mencegah kapal mendarat di pantai kepulauan Little Kinmen. - Foto AFP

China hantar kapal pengawal pantai ronda pulau kecil Taiwan

BEIJING: China akan mengukuhkan aktiviti penguatkuasaan undang-undang dan melakukan rondaan berkala di sekitar sekumpulan kecil pulau yang dikuasai Taiwan.

Tindakan itu dilakukan ketika ketegangan memuncak membabitkan kematian dua warga China baru-baru ini.

Khamis lalu, Taiwan mempertahankan tindakan pengawal pantainya selepas bot laju milik warga China terbalik ketika cuba melarikan diri dari kapal pengawal pantai, mengorbankan dua individu manakala dua lagi terselamat.

China mengecam tindakan Taiwan dan melabelkan tragedi berhampiran pulau Beiding Kinmen sebagai 'berniat jahat'.

\Pengawal pantai China dalam satu kenyataan ringkas berkata ia akan mengukuhkan pasukan penguatkuasaan undang-undang maritim dan menjalankan rondaan dan pemeriksaan secara tetap di perairan sekitar Kinmen dan Xiamen.

Ini adalah untuk 'mengekalkan ketenteraman operasi di perairan yang berkaitan dan menjaga keselamatan nyawa dan harta benda nelayan', tambahnya.

Semalam, Pejabat Hal Ehwal Taiwan China berkata kematian itu meningkatkan kemarahan di China, tetapi tidak ada perairan terlarang di kawasan berkenaan.

"Nelayan di kedua-dua belah Selat Taiwan beroperasi di kawasan tangkapan ikanXiamen-Kinmen sejak dulu lagi dan tidak timbul isu 'perairan larangan'," katanya.

Kerajaan China mempunyai niat baik terhadap rakyat Taiwan, tetapi tidak akan bertolak ansur dengan sikap Taiwan yang tidak mengambil kira keselamatan nelayan China, tambah pejabat itu.

Majlis Hal Ehwal Tanah Besar Taiwan membuat dasar China berkata tentera Taiwan akan terus menguatkuasakan peraturan melarang akses tanpa kebenaran ke perairan Taiwan di sekitar Kinmen.

Bagaimanapun tuduhan China mengenai 'pengusiran secara kasar' adalah tidak benar. - REUTERS

Berita Harian X