Ahad, 18 Februari 2024 | 10:32am
Kepulan asap memenuhi ruang udara selatan Rafah berdekatan sempadan Mesir selepas Israel melancarkan serangan udara tanpa mempedulikan gesaan antarabangsa supaya menangguhkannya. - Foto AFP
Kepulan asap memenuhi ruang udara selatan Rafah berdekatan sempadan Mesir selepas Israel melancarkan serangan udara tanpa mempedulikan gesaan antarabangsa supaya menangguhkannya. - Foto AFP

Israel tolak gesaan untuk tangguh serang Rafah

GAZA: Israel menolak rayuan negara pengantara, Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Mesir, untuk menangguhkan serangan ke atas Rafah, yang kini padat dengan 1.4 juta pelarian Palestin, sementara gencatan senjata dirundingkan.

Perkara itu dimaklumkan Qatar, yang mengakui bahawa prospek untuk jeda baru dalam perang Israel-Palestin adalah amat suram dan setakat ini tidak menjanjikan sebarang harapan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, negara asing yang menggesa Israel untuk menyelamatkan bandar itu diibaratkan sebagai menyatakan Israel kalah dalam perang menentang Palestin.

Minggu ini, Qatar, Mesir dan AS berikrar akan terus berusaha keras bagi pengisytiharan gencatan senjata sebelum tentera Israel menyerang Rafah.

Namun, di sebalik rayuan langsung daripada Presiden AS, Joe Biden, awal minggu ini, Netanyahu menegaskan serangan itu akan diteruskan, meskipun ada pembebasan lanjut tebusan Israel dipersetujui dengan Hamas.

"Walaupun kita mencapainya (pembebasan tebusan), kita akan memasuki Rafah," katanya pada sidang media, semalam.

Perdana Menteri Qatar, Mohammed Abdulrahman Al-Thani, yang bertemu dengan perunding dari Israel dan Palestin minggu lalu, berkata usaha gencatan senjata menjadi rumit kerana campur tangan banyak pihak.

Imej satelit menunjukkan bandar Rafah sebelum kemasukan pelarian Palestin (kiri) dan selepas dibanjiri sekitar 1.4 juta pelarian (kanan), yang kini menjadi benteng perlindungan terakhir mereka. - Foto REUTERS
Imej satelit menunjukkan bandar Rafah sebelum kemasukan pelarian Palestin (kiri) dan selepas dibanjiri sekitar 1.4 juta pelarian (kanan), yang kini menjadi benteng perlindungan terakhir mereka. - Foto REUTERS

"Antaranya, desakan 'banyak negara' bahawa sebarang gencatan senjata baharu perlu membabitkan pembebasan lebih banyak tebusan, secara tidak langsung memberi tekanan terhadap rundingan yang sedang dijalankan.

"Corak rundingan sejak beberapa hari kebelakangan ini tidak begitu menjanjikan harapan," katanya pada Persidangan Keselamatan Munich, di Jerman.

Palestin mengancam untuk menggantung pembabitannya dalam rundingan gencatan senjata melainkan bekalan bantuan dibawa ke utara Semenanjung Gaza, di mana agensi bantuan memberi amaran sudah berlaku kebuluran.

"Rundingan tidak boleh diadakan ketika kelaparan melanda rakyat Palestin," kata sumber kanan dalam kumpulan pejuang Palestin.

Israel pula menggesa Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini meletak jawatan, berikutan dakwaan terowong Hamas ditemui di bawah ibu pejabatnya di Gaza.

Lazzarini memberitahu kumpulan media Switzerland, Tamedia, bahawa UNRWA tidak mempunyai keupayaan untuk memeriksa apa yang berada 20 meter di bawah tanah di Gaza.

Beberapa negara termasuk AS dan Britain menggantung pembiayaannya selepas dakwaan Israel bahawa 12 daripada 13,000 kakitangan UNRWA di Gaza mungkin mengambil bahagian dalam serangan 7 Oktober lalu.

Lazzarini berkata sejumlah AS$438 juta sudah dibekukan dan tanpa penderma baharu, UNRWA perlu menghentikan operasi pada April ini - AFP

Berita Harian X