Sabtu, 17 Februari 2024 | 9:44pm
Kapal kargo Galaxy Leader diiringi oleh bot Huthi di Laut Merah dalam gambar yang dikeluarkan pada 20 November 2023. -REUTERS
Kapal kargo Galaxy Leader diiringi oleh bot Huthi di Laut Merah dalam gambar yang dikeluarkan pada 20 November 2023. -REUTERS

Huthi mengaku lakukan serangan terbaharu ke atas kapal di Laut Merah

SANAA: Kumpulan pejuang di Yaman, Huthi yang disokong Iran, mengaku melakukan serangan ke atas kapal tangki minyak di Laut Merah, semalam.

Siri serangan terbaharu itu dijangka menyebabkan tindak balas lagi daripada Britain dan Amerika Syarikat (AS).

Serangan kumpulan berkenaan juga dilaporkan menjejaskan perdagangan dunia di Laut Merah iaitu sebuah kawasan perairan yang penting.

Jurucakap Huthi, Yahya Saree, berkata pasukan tentera laut kumpulan itu menjalankan operasi dengan menyasarkan kapal tangki minyak British Pollux di Laut Merah menggunakan peluru berpandu.

Yahya bagaimanapun tidak memperincikan bagaimana Huthi dapat memastikan bahawa kapal itu mempunyai kaitan dengan British.

Ini kerana pangkalan data perkapalan Yunani dikendalikan oleh Sea Trade Marine S A Athens.

Menurut Jabatan Negara di Washington, semalam, peluru berpandu yang dilepaskan dari Yaman mengenai bahagian pelabuhan MT Pollux yang membawa bendera Panama ke India, dengan muatan minyak mentah.

Katanya, kapal itu bagaimanapun masih dapat meneruskan pelayarannya.

Sementara menurut firma keselamatan Ambrey, kapal tangki itu mengalami kerosakan kecil dalam serangan peluru berpandu di barat laut, pelabuhan Mokha di Yaman.

Serangan itu berlaku pada hari sama Washington mengisytiharkan semula Huthi sebagai pengganas.

Ia juga berlaku selepas tentera AS semalam dilaporkan melakukan serangan terhadap tiga peluru berpandu pelayaran anti-kapal mudah alih di kawasan yang dikuasai Huthi di Yaman.

Disember lalu, AS mengumumkan inisiatif keselamatan maritim, iaitu Operasi Penjaga Keamanan untuk melindungi laluan kapal di kawasan itu.

Serangan beberapa kali AS dan Britain terhadap Huthi bagaimanapun gagal menghentikan kemaraan mereka.

Sebaliknya, mereka terus menyasarkan kapal yang dianggap mempunyai kaitan dengan Israel.

Huthi juga berikrar untuk melakukan serangan tindak balas atas perbuatan AS dan British, sebagai semangat solidariti dengan rakyat Palestin.

Huthi yang berperang dengan kerajaan Yaman sejak 2014, menguasai ibu kota Sanaa dan sebahagian besar barat laut negara itu.

Barisan menteri luar Kesatuan Eropah akan bertemu di Brussels, Isnin ini untuk melancarkan misi tentera laut bagi membantu melindungi perkapalan antarabangsa di Laut Merah daripada serangan Huthi. -AFP

Berita Harian X