Sabtu, 17 Februari 2024 | 6:29pm
Foto yang dirakam kelmarin, menunjukkan pemandangan udara kapal Pengawal Pantai China (dua kanan) dan sebuah kapal China yang dikenal pasti oleh Pengawal Pantai Filipina sebagai militia maritim (dua kiri dan kanan) menghalang BRP Datu Tamblot (kiri) ketika misi membawa bekalan dan bantuan kepada nelayan di Scarborough Shoal di Laut China Selatan yang dipertikaikan. -AFP
Foto yang dirakam kelmarin, menunjukkan pemandangan udara kapal Pengawal Pantai China (dua kanan) dan sebuah kapal China yang dikenal pasti oleh Pengawal Pantai Filipina sebagai militia maritim (dua kiri dan kanan) menghalang BRP Datu Tamblot (kiri) ketika misi membawa bekalan dan bantuan kepada nelayan di Scarborough Shoal di Laut China Selatan yang dipertikaikan. -AFP

Filipina dakwa bot China lakukan tindakan 'berbahaya'

LAUT CHINA SELATAN: Filipina hari ini mendakwa kapal pengawal pantai China melakukan gerakan "berbahaya" selepas mereka berulang kali menghalang kapal Filipina yang menghantar bekalan kepada nelayan di terumbu di luar pantai negara Asia Tenggara itu.

Insiden berlaku berhampiran Scarborough Shoal yang dikawal China pada Khamis dan Jumaat, beberapa hari selepas Pengawal Pantai Filipina membuat tuduhan sama terhadap bot China di kawasan sama.

Scarborough Shoal - rantaian terumbu dan batu berbentuk segi tiga di Laut China Selatan yang dipertikaikan menjadi tumpuan antara negara sejak China merampasnya dari Filipina pada 2012.

Sejak itu, Beijing mengerahkan bot peronda yang dikatakan Manila mengganggu kapal Filipina dan menghalang nelayan Filipina daripada sampai ke lagun di mana ikan didapati lebih banyak.

Dalam insiden terbaru, sebuah kapal tentera laut China, kapal Pengawal Pantai China dan bot China yang lain membayangi kapal Filipina milik Biro Perikanan dan Sumber Akuatik yang membawa makanan dan bahan api kepada nelayan Filipina, membolehkan mereka menghabiskan lebih banyak masa di laut dan mengejar tangkapan yang lebih besar.

Sekumpulan Wartawan termasuk wartawan AFP dari beberapa cawangan tempatan berada di atas BRP Datu Tamblot Filipina untuk pelayaran pergi balik selama tiga hari.

Kapal Datu Tamblot dan Pengawal Pantai China mengeluarkan cabaran radio berulang kali antara satu sama lain, dengan setiap pihak menuduh satu sama lain menceroboh perairan wilayah mereka.

Untuk kali keempat, kapal pengawal pantai China menghalang seketika Datu Tamblot dengan melintasi haluannya dan berhenti di laluannya ketika ia menghampiri beting.

"Tidak dibenarkan mana-mana kapal melintasi haluan kapal lain kerana ia sangat berbahaya," kata Komander Pengawal Pantai Filipina Jay Tarriela pada sidang akhbar di Manila.

Tarriela, yang juga jurucakap pengawal pantai untuk Laut Filipina Barat, berkata tindakan sedemikian boleh "menyebabkan perlanggaran."

Di sebalik tindakan China itu, Datu Tamblot berjaya menghantar 21,000 liter (5,550 gelen) diesel dan peruntukan lain kepada 19 bot nelayan Filipina, kata Tarriela.-AFP

Berita Harian X