Jumaat, 16 Februari 2024 | 7:24pm
Jurucakap Parti Kongres, Ajay Maken pada sidang media di Ibu Pejabat All India Congress Committee (AICC) di New Delhi, hari ini. - Foto AFP
Jurucakap Parti Kongres, Ajay Maken pada sidang media di Ibu Pejabat All India Congress Committee (AICC) di New Delhi, hari ini. - Foto AFP

Pembangkang India dakwa akaun bank dibeku kerajaan

NEW DELHI: Parti pembangkang India mendakwa akaun bank milik mereka dibekukan jabatan cukai beberapa minggu sebelum pengumuman pilihan raya umum negara itu.

Susulan itu, pengkritik dan kumpulan hak asasi menuduh kerajaan Perdana Menteri, Narendra Modi menggunakan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk menyasarkan musuh politiknya secara terpilih.

Jurucakap Parti Kongres, Ajay Maken berkata tindakan terhadap parti itu bertujuan untuk mengenepikan mereka menjelang pilihan raya.

"Apabila akaun parti pembangkang dibekukan hanya dua minggu sebelum pengumuman pilihan raya negara, adakah anda fikir demokrasi masih hidup di negara kita?

"Tidakkah anda fikir ia menuju ke arah sistem satu parti?" katanya.

Pada masa sama, Ajay berkata empat akaun Parti Kongres dibekukan selepas siasatan terhadap penyata cukai pendapatan parti pada 2018 hingga 2019.

Beliau berkata, jabatan cukai mengeluarkan permintaan pembayaran sebanyak 2.1 bilion rupee (RM120.95 juta) berhubung siasatannya.

Katanya, beliau mengakui parti itu memfailkan penyata lewat sehingga 45 hari tetapi menegaskan ia tidak melakukan sebarang kesalahan lain bagi dikenakan penalti sedemikian.

"Hari ini adalah hari yang menyedihkan bagi demokrasi India," katanya sambil menambah parti itu merayu keputusan terbabit di mahkamah dan akan mengadakan bantahan awam.

Kenyataan itu dibuat berikutan banyak sekatan undang-undang dan siasatan aktif terhadap penentang utama Parti Bharatiya Janata (BJP) yang dipimpin Modi.

Pemimpin Parti Kongres Rahul Gandhi, keturunan dinasti yang mendominasi politik India selama beberapa dekad, disabitkan dengan fitnah tahun lalu selepas aduan oleh seorang anggota parti pimpinan Modi.

- AFP

Berita Harian X