Jumaat, 16 Februari 2024 | 10:13am
Imej satelit menunjukkan kem pelarian Palestin terakhir di Rafah, dekat sempadan Mesir. - Foto REUTERS
Imej satelit menunjukkan kem pelarian Palestin terakhir di Rafah, dekat sempadan Mesir. - Foto REUTERS

Pelarian Palestin dirikan khemah di sempadan Mesir

GAZA: Ratusan ribu pelarian Palestin di Rafah kini berlindung di kawasan kecil perkhemahan sementara yang terakhir berhampiran sempadan Mesir, selepas tentera Israel memulakan operasi darat di Rafah .

Sehubungan itu, Britain menyertai Amerika Syarikat (AS), Australia, Kanada dan New Zealand, mengulangi amaran kepada Israel supaya tidak melancarkan serangan darat di bandar itu selagi keselamatan warga Palestin tidak terjamin.

Semalam, Rumah Putih melaporkan Presiden AS, Joe Biden, berbual selama 40 minit menerusi telefon dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berhubung perkembangan terkini di Rafah.

Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak, pula memberitahu Netanyahu dalam panggilan telefon bahawa Britain 'sangat bimbang mengenai kesan kemanusiaan yang semakin memburuk, susulan pencerobohan tentera Israel di Rafah.

Di Kaherah, usaha untuk gencatan senjata memasuki hari ketiga, dengan orang tengah iaitu AS, Qatar dan Mesir terus cuba menjadi perantara perjanjian.

Dua matlamat utama ialah untuk menghentikan pertempuran dan melihat pembebasan tebusan yang masih berbaki sebagai pertukaran untuk warga Palestin ditahan oleh Israel.

Pengarah Agensi Perisikan pusat (CIA), Bill Burns, membuat lawatan mengejut ke Israel kelmarin bagi mengadakan perbincangan dengan Netanyahu dan Ketua Agensi Perisikan Mossad Israel, David Barnea.

Barnea mengadakan perbincangan dengan Burns, wakil Mesir dan Qatar di Kaherah pada Selasa, sebelum delegasi Hamas membuat lawatan sehari kemudian.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, berkata beliau percaya perjanjian masih boleh dibuat.

Pelarian Palestin beratus bagi mendapatkan bekalan air di kem di Rafah, dekat sempadan Mesir. - Foto AFP
Pelarian Palestin beratus bagi mendapatkan bekalan air di kem di Rafah, dekat sempadan Mesir. - Foto AFP

"Kami memberikan tumpuan kepada usaha ini dan percaya ia boleh dijayakan," katanya ketika melawat Albania.

Pejabat Netanyahu berkata, pihaknya tidak menerima 'apa-apa cadangan baharu' daripada Hamas mengenai pembebasan tebusan dan media Israel melaporkan delegasi negara itu tidak akan kembali ke meja rundingan sehingga Hamas sedia ke arah itu.

Walaupun tidak mengulas secara langsung mengenai laporan itu, Netanyahu berkata: "Saya menegaskan bahawa Hamas menggugurkan tuntutan khayalan mereka dan apabila mereka menggugurkannya, kita boleh bergerak ke hadapan".

Presiden Palestin, Mahmud Abbas, yang mengetuai Pihak Berkuasa Palestin berpangkalan di Tebing Barat, menggesa Hamas untuk 'segera' bersetuju dengan gencatan senjata bagi mengelakkan tragedi yang lebih buruk.

Kira-kira 130 tebusan masih dipercayai berada di Gaza selepas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu ke atas Israel.

Menurut statistik AFP, berdasarkan data rasmi Israel, serangan itu mengakibatkan kira-kira 1,160 orang maut.

Serangan balas Israel di gaza pula mergorbankan sekurang-kurangnya 28,663 mangsa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, berdasarkan data kementerian Kesihatan Palestin.

Puluhan daripada anggaran 250 tebusan Israel yang ditahan semasa serangan itu dibebaskan sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin ketika gencatan senjata selama seminggu pada November.

Israel berkata, 29 daripada tebusan yang masih berada di Gaza dianggap telah mati. - AGENSI

Berita Harian X