Khamis, 15 Februari 2024 | 3:49pm
Pulau terpencil Shihyu di Taiwan dilindungi dengan pancang bagi mencegah kapal mendarat di pantai kepulauan Little Kinmen. - Foto AFP
Pulau terpencil Shihyu di Taiwan dilindungi dengan pancang bagi mencegah kapal mendarat di pantai kepulauan Little Kinmen. - Foto AFP

Kemalangan bot sebabkan kematian 2 warga China, Taiwan salahkan Beijing

TAIPEI: Taiwan hari ini menggesa Beijing menghalang rakyatnya daripada menangkap ikan secara haram di perairan sekitar pulau yang diperintah sendiri itu.

Kenyataan itu dibuat bagi mempertahankan kes di mana pengawal pantai Taiwan mengejar bot nelayan haram, yang membawa kepada kematian dua warga China.

Bot yang membawa empat orang penumpang itu terbalik berhampiran pulau Kinmen, wilayah yang ditadbir oleh Taiwan, namun terletak hanya lima kilometer (km) dari Xiamen, China.

Menurut pengawal pantai Taiwan, keempat-empat individu itu tercampak ke dalam air dan dua anak kapal kemudiannya meninggal dunia.

China yang mendakwa Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, mengutuk pulau yang diperintah secara demokrasi itu susulan kejadian yang dilaporkan berlaku semalam.

Katanya, tragedi itu sangat mengguris perasaan rakan senegara di kedua-dua belah Selat Taiwan.

Bagaimanapun, Pentadbiran Pengawal Pantai Taiwan berkata, bot itu bergerak dengan kelajuan 0.86 batu nautika di kawasan perairan larangan dan selepas terbalik, kakitangannya segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Majlis Hal Ehwal Tanah Besar Taiwan (MAC) iaitu badan rasmi yang mengendalikan urusan membabitkan hal ehwal China, hari ini mempertahankan pengawal pantainya dengan memaklumkan mereka mengikut prosedur yang betul.

MAC turut berkata, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa Taiwan melihat rakyat China melintasi sempadan dan terbabit dalam perbuatan mengorek pasir, memancing dengan menggunakan bahan letupan dan racun serta membuang sampah.

Sudah berulang kali kami menggesa Beijing untuk mengukuhkan tadbir urus, namun tiada perubahan.

"Baru-baru ini, banyak bot nelayan China terus memasuki perairan larangan, mengambil kesempatan sempena Tahun Baharu Cina untuk menangkap ikan bernilai tinggi.

"Kami amat kesal kerana kru China yang enggan bekerjasama dengan pihak penguatkuasaan undang-undang dan menyebabkan kejadian malang ini berlaku.

"Kami juga berharap pihak berkuasa tanah besar dapat mengekang tingkah laku sedemikian oleh pihak sana," katanya.

Menurut pengawal pantai, kedua-dua anak kapal yang diselamatkan dibawa ke Kinmen untuk siasatan, manakala keluarga si mati akan dimaklumkan mengenai kejadian itu 'melalui saluran yang disediakan'. - AFP

Berita Harian X