Khamis, 15 Februari 2024 | 10:25am
Pelarian Palestin berlindung di kem sementara di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Pelarian Palestin berlindung di kem sementara di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Israel mahu 'kosongkan' penduduk Palestin dari Rafah sebelum serangan

GAZA: Israel berikrar untuk meneruskan operasi ketenteraan secara besar-besaran di Rafah, wilayah paling selatan di Gaza, selepas penduduk Palestin di kawasan itu dikosongkan.

Pada masa sama, gesaan antarabangsa terus memuncak supaya rejim Zionis itu menangguhkan penghantaran tenteranya ke bandar terbabit yang kini sesak dengan lebih 1.2 juta penduduk.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, minggu lalu mengarahkan tentera Israel bersiap sedia untuk menyerang Rafah, dalam usaha menghapuskan saki baki pejuang Hamas di wilayah berkenaan.

Beliau berdepan tekanan yang semakin meningkat supaya menghentikan serangan darat berskala besar ke atas Rafah, namun menegaskan batalion Hamas mesti dihapuskan di bandar itu.

"Kami akan berjuang sehingga meraih kemenangan dan ini termasuk serangan besar-besaran di Rafah selepas membenarkan penduduk awam meninggalkan zon pertempuran," katanya dalam satu kenyataan.

Seorang kanak-kanak Palestin menarik bekas air di selatan Kota Gaza, di Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Seorang kanak-kanak Palestin menarik bekas air di selatan Kota Gaza, di Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Ikrar itu dibuat bersama rundingan yang masuk hari kedua untuk menghentikan perang Israel-Palestin dan ketika serangan rentas sempadan Israel-Hizbullah di Lubnan semakin meningkat.

Ia turut mencetuskan kebimbangan berlakunya konflik yang lebih buruk, secara meluas di Asia Barat termasuk di Laut Merah dan Teluk Aden di mana tentera Amerika Syarikat (AS) bertempur dengan pemberontak Houthi.

Netanyahu berikrar untuk menumpaskan Hamas sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan pejuang itu pada 7 Oktober lalu ke atas Israel, yang menurut statistik AFP, berdasarkan angka rasmi Israel, mengakibatkan kira-kira 1,160 mangsa, kebanyakannya orang awam, maut.

Menurut Kementerian Kesihatan di wilayah Palestin yang dikuasai Hamas, sekurang-kurangnya 28,576 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam serangan balas tentera Israel ke atas Gaza,

Lori menunggu di Rafah, sempadan Mesir dan Semenanjung Gaza. - Foto hiasan REUTERS
Lori menunggu di Rafah, sempadan Mesir dan Semenanjung Gaza. - Foto hiasan REUTERS

Puluhan daripada anggaran 250 orang tebusan yang ditahan oleh pejuang Hamas ketika serangan pada 7 Oktober lalu telah dibebaskan sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin semasa gencatan senjata selama seminggu, pada November.

Potensi kematian orang awam beramai-ramai di Rafah mencetuskan rayuan segera termasuk daripada negara sekutu rapat Israel.

Israel juga digesa menangguhkan penghantaran tentera ke bandar itu, yang kini menjadi benteng perlindungan terakhir penduduk Gaza.

Ketika ini di Rafah, lebih 1.4 juta rakyat Palestin terperangkap dengan lokasi itu juga adalah pintu masuk utama bagi bekalan bantuan yang amat diperlukan.

Kebimbangan juga semakin meningkat di Hospital Nasser di selatan Gaza, di mana seorang jururawat berkata, penembak tepat membunuh orang awam, sisa kumbahan membanjiri unit kecemasan, manakala air minuman dilaporkan habis. - AFP

Berita Harian X