Rabu, 14 Februari 2024 | 11:13pm
Bekas Perdana Menteri dan Presiden PML-N, Shehbaz Sharif dinamakan sebagai calon Perdana Menteri bagi penggal kedua. - Foto AFP
Bekas Perdana Menteri dan Presiden PML-N, Shehbaz Sharif dinamakan sebagai calon Perdana Menteri bagi penggal kedua. - Foto AFP

Liga Muslim Pakistan-Nawaz ketuai kerajaan gabungan

KARACHI: Gabungan parti diketuai Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) bersedia membentuk kerajaan baharu untuk tempoh lima tahun selepas mendapat sokongan ahli Parlimen baru dilantik, yang diperlukan untuk majoriti mudah di Dewan Negara.

Pilihan raya umum 8 Februari lalu menyaksikan Parlimen digantung berikutan tiada parti memperoleh dua pertiga kerusi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, mencetuskan perlumbaan sengit dalam membentuk pakatan.

Menurut pengiraan terkini diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan, gabungan pimpinan PML-N, yang turut merangkumi Parti Rakyat Pakistan (PPP), Pergerakan Muttahida Qaumi (MQM), dan beberapa parti yang lebih kecil, mempunyai gabungan kekuatan lebih 150 daripada 266 kerusi Dewan Negara.

Ahsan Iqbal, seorang pemimpin parti PML-N pusat, juga mendakwa gabungan itu telah melepasi jumlah yang diperlukan untuk majoriti di Parlimen.

Bercakap kepada Anadolu, beliau menegaskan jumlah kerusi yang dimenangi oleh rakan gabungan adalah "hampir dua pertiga majoriti."

Gabungan itu juga telah menamakan bekas Perdana Menteri dan Presiden PML-N, Shehbaz Sharif sebagai calonnya bagi penggal kedua.

Sharif kekal sebagai perdana menteri kerajaan campuran dengan hampir parti yang sama selama 16 bulan, dari April 2022 hingga Ogos 2023, berikutan penyingkiran Imran Khan melalui undi tidak percaya.

Untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, sebuah parti memerlukan 134 kerusi yang boleh dikira sebagai 169 ahli Parlimen selepas memperuntukkan ahli kepada kerusi rizab untuk wanita dan minoriti agama dalam Dewan Negara.

PML-N, PPP dan MQM masing-masing mendapat 75, 54 dan 17 kerusi, dalam pilihan raya minggu lalu. Enam penggubal undang-undang bebas juga telah menyertai PML-N, meningkatkan kekuatannya kepada 81.

Walaupun calon bebas yang disokong oleh Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) dari Imran Khan memenangi 93 kerusi, jumlah tertinggi ahli Parlimen, parti itu tidak dapat membentuk gabungan dengan parti lain untuk mencapai majoriti mudah.

Dewan Negara mempunyai 336 kerusi, 60 dikhaskan untuk wanita dan 10 untuk minoriti agama.

Ini diagihkan secara berkadar dalam kalangan parti berdasarkan prestasi pilihan raya mereka. Mana-mana parti yang mahu ketuanya menjadi perdana menteri memerlukan 169 undi di Dewan.

Semalam, PTI mengumumkan calon bebas gabungannya akan "membentuk kerajaan gabungan" dengan dua parti agama politik, Majlis Wahdat-e-Muslimeen (MWM) di tengah dan wilayah timur Punjab, dan Jamaat-e-Islami (JI) di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

Bagaimanapun, rancangannya itu terjejas apabila JI enggan bergabung dengan PTI.

Timbalan ketua JI Liaquat Baloch berkata pada sidang akhbar di bandar timur laut Lahore bahawa kedua-dua parti bersetuju untuk bekerjasama di peringkat persekutuan dalam "kepentingan negara", tetapi kemudiannya ia mengumumkan bahawa ia akan membentuk gabungan dengan partinya hanya dalam Khyber Pakhtunkhwa.

"Mereka boleh menyelesaikan urusan mereka di Khyber Pakhtunkhwa dengan sesiapa sahaja yang mereka mahu... JI akan gembira," katanya.

Mohammad Ali Saif, jurucakap PTI wilayah itu, memberitahu pemberita bahawa pihaknya tidak dapat mencapai persetujuan dengan JI kerana mereka tidak mempunyai perwakilan dalam dewan wilayah.

Calon-calon yang disokong PTI berada dalam kedudukan yang selesa untuk membentuk kerajaan di wilayah itu, yang mana JI kehilangan ketiga-tiga kerusinya selepas kiraan semula.

Saif berkata pihaknya sedang menimbang "pilihan lain" untuk membentuk kerajaan wilayah.

Calon PTI bertanding dalam pilihan raya 8 Februari sebagai calon bebas berikutan keputusan mahkamah tertinggi negara, yang membuang simbol parti daripada kertas undi kerana gagal mengadakan pemilihan dalam parti tepat pada masanya.

Ini juga menghalang PTI daripada mendapat manfaat daripada 70 kerusi yang dikhaskan untuk wanita dan minoriti.​​​​​​​

Berita Harian X