Isnin, 12 Februari 2024 | 11:51pm
Seorang wanita Palestin memangku jenazah bayi yang terbunuh akibat serangan Israel, di Hospital Abu Yousef Al-Najjar di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Seorang wanita Palestin memangku jenazah bayi yang terbunuh akibat serangan Israel, di Hospital Abu Yousef Al-Najjar di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Israel kerap berbalah dengan agensi PBB berhubung isu Palestin

GAZA: Tuduhan Israel terhadap 12 kakitangan agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Palestin di Gaza, adalah episod terbaru pergeseran selama beberapa dekad antara Israel dengan agensi itu.

Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB yang dikenali sebagai UNRWA, adalah salah satu badan tertua PBB dan sudah lama memainkan peranan penting membantu penduduk Palestin.

Ditubuhkan pada 1949, UNRWA berfungsi untuk melindungi orang Arab Palestin yang melarikan diri atau meninggalkan kediaman mereka semasa peperangan hingga penubuhan negara Israel pada akhir 1940-an.

Apabila agensi PBB yang berasingan kemudiannya ditubuhkan untuk pelarian konflik lain, UNRWA kekal bebas.

Kepada rakyat Palestin dan penyokong mereka, kumpulan itu kekal sebagai talian hayat penting bagi jutaan pelarian yang status dan masa depan mereka tidak pernah diselesaikan dalam rundingan antara pemimpin Israel dan Palestin.

Ia adalah salah satu majikan terbesar di Gaza dengan menggajikan 13,000 orang, kebanyakannya rakyat Palestin sebagai kakitangan.

Penduduk Palestin yang terselamat meratapi kehilangan orang tersayang dalam serangan Israel, ketika menuntut jenazah di Hospital Abu Yousef Al-Najjar di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Penduduk Palestin yang terselamat meratapi kehilangan orang tersayang dalam serangan Israel, ketika menuntut jenazah di Hospital Abu Yousef Al-Najjar di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Ramai daripada mereka tinggal di kawasan kejiranan bandar yang kurang membangun – masih dikenali sebagai kem pelarian – di bandar-bandar yang terdapat di serata Asia Barat.

Di Gaza, mereka membentuk majoriti penduduk dan UNRWA memainkan peranan penting dalam menyediakan mereka dengan pendidikan, perkhidmatan sosial dan bantuan serta perlindungan semasa perang.

Bekas jurucakap UNRWA, Chris Gunness, berkata hanya kerana nasib mereka sebagai pelarian tidak pernah diselesaikan, mereka terus menjadi pelarian.

"Ini adalah sebahagian daripada orang yang paling terdedah di Asia Barat dan amat memerlukan agensi PBB yang dapat menyediakan perkhidmatan kecemasan dan kemanusiaan kepada mereka," katanya.

Bagaimanapun, bagi Israel, agensi itu dan penyokongnya adalah penghalang untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

Ramai rakyat Palestin mahu kembali ke rumah mereka yang dahulu, di kawasan yang kini dikenali sebagai Israel dan semakin banyak dirampas oleh peneroka haram Yahudi.

Seorang kanak-kanak berjalan melepasi kenderaan dan bangunan yang musnah di sepanjang jalan di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Seorang kanak-kanak berjalan melepasi kenderaan dan bangunan yang musnah di sepanjang jalan di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Israel pula khuatir penghijrahan pulang penduduk Palestin akan menjejaskan golongan Yahudi Israel.

Orang Israel berkata kewujudan UNRWA yang berasingan daripada sistem perlindungan pelarian PBB yang lebih luas, menghalang mereka daripada bertapak di tempat-tempat lain di Asia Barat.

"UNRWA menjadi penghalang utama yang kekal mempersoalkan kewujudan negara Yahudi," kata Einat Wilf, pengarang bersama buku mengenai UNRWA.

Pertubuhan itu membantu untuk memupuk semangat 'nasionalisme yang tertumpu kepada idea untuk pulang dan membalas dendam', dakwanya.

Israel berkata kurikulum sekolah UNRWA memupuk sikap menentang kewujudan Israel, satu dakwaan yang disangkal oleh UNRWA, dan Israel juga menuduh agensi itu berada di bawah pengaruh Hamas.

Ekoran perkembangan terbaru, Menteri Luar Israel, Israel Katz, pada 3 Februari lalu, menyeru UNRWA menghentikan tugasnya di Gaza selepas kempen ketenteraan Israel di sana berakhir.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (dua, kanan) beramah mesra bersama warga emas yang juga penerima bantuan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di kaunter pendaftaran MyKasih di Pasaraya TF Value hari ini.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (dua, kanan) beramah mesra bersama warga emas yang juga penerima bantuan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di kaunter pendaftaran MyKasih di Pasaraya TF Value hari ini.

Beliau akan mendapatkan sokongan untuk matlamat itu, daripada Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS) dan negara lain.

UNRWA secara konsisten menegaskan pendirian berkecualinya, kadangkala ia juga mengkritik Hamas kerana menggunakan kemudahannya untuk menyimpan senjata.

Menurut laman sesawang agensi itu, ia telah mengenakan tindakan disiplin, malah memecat kakitangan terlibat dalam aktiviti politik yang tidak sesuai.

UNRWA juga berkongsi senarai pekerjanya dengan pemerintah serantau termasuk Israel.

Lewat 2023, kumpulan itu menuduh Hamas telah 'memindahkan simpanan minyak dan peralatan perubatan daripada pekarangan agensi di Bandar Gaza', dan sebagai tindakan susulan, ia kemudian memindahkan pusat simpanan itu.

"Pihak keselamatan Israel sejak dulu lagi berpendapat bahawa UNRWA perlu dilenyapkan," kata Anne Irfan, pengarang sebuah buku mengenai UNRWA dan pelarian Palestin. - AGENSI

Berita Harian X