Isnin, 12 Februari 2024 | 8:31pm
Seorang lelaki Palestin meratapi kehilangan orang tersayang dalam serangan Israel, di Hospital Abu Yousef Al-Najjar di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Seorang lelaki Palestin meratapi kehilangan orang tersayang dalam serangan Israel, di Hospital Abu Yousef Al-Najjar di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Israel berjaya selamatkan 2 tebusan dalam operasi di Rafah

GAZA: Tentera Israel berjaya menyelamatkan dua tebusan yang ditahan hampir 130 hari dalam operasi bersama di Rafah, selatan Semenanjung Gaza.

Dalam satu kenyataan, tentera mengenal pasti kedua-dua tebusan sebagai Fernando Simon Marman dan Louis Har yang diculik pada 7 Oktober lalu dari Kibbutz Nir Yitzhak.

Jurucakap tentera, Daniel Hagari, dalam taklimatnya berkata operasi itu sudah lama diusahakan dan mereka menunggu sehingga isyarat sesuai untuk melaksanakannya.

Tambahnya, pertempuran berlaku ketika tebusan dibawa keluar dari bangunan mereka ditahan, dengan serangan udara menyasarkan bangunan berhampiran di mana tembakan dilepaskan.

"Kedua-duanya berada dalam keadaan kesihatan yang baik tetapi ramai terbunuh petang ini ketika operasi dan salah seorang pejuang kami cedera ringan," katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Palestin berkata kira-kira 100 rakyat Palestin termasuk kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara itu.

Minggu lalu, Presiden Israel, Benjamin Netanyahu, berkata beliau sudah mengarahkan tentera bersiap sedia untuk operasi di Rafah, bandar utama terakhir yang masih belum dimasuki.

Sementara itu, Qatar, Oman dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) antara yang terbaharu membangkitkan kebimbangan mengenai rancangan Israel untuk mara ke Rafah.

Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga menolak pemindahan 'paksa' dari Rafah, yang membangkitkan trauma penghijrahan beramai-ramai rakyat Palestin pada 1948.

Riyadh menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyegerakan mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Setiausaha Luar Britain, David Cameron berkata keutamaan 'adalah untuk hentikan seketika pertempuran untuk mendapatkan bantuan dan membawa tebusan keluar'. - AFP

Berita Harian X