Isnin, 12 Februari 2024 | 6:44pm
Kerajaan Taliban mengumumkan kerajaan Oman sudah menamatkan sekatan terhadap dua anggotanya, Abdul Zahir (kanan) dan Abdul Karim, yang ditahan selama tujuh tahun di Oman selepas dibebaskan dari pusat tahanan teluk Guantanamo dan dibenarkan pulang ke Afghanistan. - Foto AGENSI
Kerajaan Taliban mengumumkan kerajaan Oman sudah menamatkan sekatan terhadap dua anggotanya, Abdul Zahir (kanan) dan Abdul Karim, yang ditahan selama tujuh tahun di Oman selepas dibebaskan dari pusat tahanan teluk Guantanamo dan dibenarkan pulang ke Afghanistan. - Foto AGENSI

2 bekas tahanan Guantanamo kembali ke Afghanistan

KABUL: Dua bekas banduan yang ditahan di pusat tahanan Amerika Syarikat (AS) di Teluk Guantanamo, Cuba, tiba di Afghanistan hari ini,

Abdul Karim dan Abdul Zahir mendarat hari ini di Kabul dari Oman, di mana mereka dipindahkan dan ditahan di bawah tahanan rumah, pada 2017.

Anak lelaki Abdul Zahir, Mohammad Osman berkata bapanya sudah kembali ke negara itu atas usaha pemimpin Emiriah Islam (Afghanistan).

"Saya sangat gembira. Apabila saya bangun pagi, saya rasa seperti Aidilfitri untuk saya," kata Mohammad Osman

Abdul Zahir dipenjarakan pada 2002, selepas serangan 11 September 2001 ke atas AS.

Menurut jurucakap Kementerian Dalam negeri Afghanistan, Abdul Mateen dan dokumen AS, Abdul Karim tiba pada 2003, selepas dia ditahan di Pakistan dan diserahkan kepada tahanan AS.

Mereka adalah antara ratusan individu yang ditangkap oleh tentera AS ketika kempen 'Perang Melawan Keganasan'.

Kedua-dua lelaki itu berada di bawah pengawasan tanpa hak untuk mengembara selama tujuh tahun di Oman.

Disebabkan usaha Afghanistan, sekatan yang dikenakan ditarik balik dan mereka dibenarkan kembali ke tanah air mereka.

Pihak berkuasa AS berdepan tuduhan penyeksaan dan penderaan terhadap banduan di kemudahan Teluk Guantanamo, di mana ramai yang ditahan tanpa tuduhan atau kuasa undang-undang untuk mencabar penahanan mereka.

Kebanyakan banduan penjara tentera itu dibebaskan selepas bertahun-tahun ditahan, termasuk pemimpin kanan Taliban.

Kerajaan AS selama bertahun-tahun berkata ia sedang berusaha untuk mengurangkan bilangan tahanan dan akhirnya menutup Teluk Guantanamo, yang terletak di pulau Cuba tetapi berada di bawah bidang kuasa AS. - AFP

Berita Harian X