Isnin, 12 Februari 2024 | 10:12am
Penyokong parti Pergerakan Muttahida Qaumi mengibarkan bendera parti ketika meraikan calon yang menang di Karachi, Pakistan. - Foto AFP
Penyokong parti Pergerakan Muttahida Qaumi mengibarkan bendera parti ketika meraikan calon yang menang di Karachi, Pakistan. - Foto AFP

Kerajaan campuran dijangka dibentuk di Pakistan

ISTANBUL: Kerajaan campuran di Pakistan berkemungkinan dibentuk selepas keputusan pilihan raya Khamis lalu diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya semalam.

Walaupun calon bebas, kebanyakannya disokong oleh Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), parti bekas Perdana Menteri Imran Khan memenangi majoriti 101 daripada 266 kerusi di Dewan Negara, mereka tidak mempunyai jumlah diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Sebaliknya, dua lagi parti utama negara itu, Liga Muslim Pakistan pimpinan Nawaz Sharif-Nawaz (PML-N) dan Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan Bilawal Bhutto Zardari telah memulakan rundingan untuk membentuk kerajaan campuran. Masing-masing memenangi 75 dan 54 kerusi.

Memetik laporan Agensi Anadolu, dua parti itu juga berhubung dengan sekutu seperti Pergerakan Muttahida Quami (MQM), yang mana 17 ahli Parlimennya berjaya ke Parlimen.

Dewan Negara mempunyai 336 kerusi (266 dipilih secara langsung, 60 dikhaskan untuk wanita, dan 10 untuk minoriti agama). Kerusi ini diagihkan sesama parti mengikut nisbah kerusi yang dimenangi.

Mana-mana parti yang mahukan ketuanya di jawatan tertinggi memerlukan 169 undi dalam dewan.

Kerusi yang dikhaskan akan memainkan peranan penting dalam menentukan siapa yang menjadi ketua kerajaan seterusnya. Tetapi PTI tidak layak mendapat kuota kerusi rizab kerana calonnya bertanding secara bebas selepas parti itu dihalang daripada menggunakan simbol pilihan raya ikoniknya, kayu pemukul kriket.

Jika wujud perbincangan secara matang dan parti-parti berjaya mengumpulkan sokongan mencukupi daripada parti-parti yang lebih kecil, kerajaan gabungan diketuai PPP dan PML-N, pada asasnya lanjutan kerajaan selepas penggulingan Khan pada April 2022 berkemungkinan dapat dibentuk.

Perikatan itu menamakan dirinya sebagai Pergerakan Demokratik Pakistan atau PDM. PPP, walaupun pemegang kepentingan utama dalam kerajaan ketika itu, bagaimanapun, berkata ia bukan sebahagian daripada PDM.

Jika rundingan antara PPP dan PML-N gagal dan tiada kata sepakat mengenai perkara penting, senario yang mungkin adalah pakatan antara PPP dan bebas, dengan parti diketuai oleh Nawaz duduk di kerusi pembangkang.

Walaupun PTI berkata calon yang disokongnya akan kekal setia dan tidak akan menyertai parti lain untuk menentang Khan, parti lain merayu ahli Parlimen untuk mendapatkan majoriti mudah di Parlimen.

Walaupun keadaan di persekutuan masih tidak jelas, di wilayah keadaan sebaliknya. PPP akan membentuk kerajaan keempat berturut-turut di wilayah Sindh selatan, dan PTI akan berkuasa semula di Khyber Pakhtunkhwa.

Di Balochistan, kemungkinan wujud gabungan, manakala di Punjab, wilayah terbesar Pakistan, PML-N mempunyai bilangan kerusi terbanyak dan ia akan berada dalam kedudukan untuk mempunyai ketua menterinya dengan syarat ia bebas daripada pertuduhan penipuan.

Pilihan raya umum Pakistan diadakan Khamis lalu yang menyaksikan lebih 90,500 pusat pengundian dibuka bagi membolehkan 128.5 juta pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Berita Harian X