Isnin, 12 Februari 2024 | 8:46am
 Foto REUTERS
Foto REUTERS

Wanita berbeza pandangan larangan poligami di Uttarakhand, India

NEW DELHI: Shayara Bano lega berikutan penggubalan undang-undang yang mengharamkan poligami di negeri kecilnya di India, kemuncak usaha selama bertahun-tahun termasuk kesnya sendiri di Mahkamah Agung negara itu.

"Saya kini boleh katakan perjuangan menentang peraturan lama dalam Islam mengenai perkahwinan dan perceraian dimenangi," kata Bano, seorang wanita Islam yang suaminya memilih untuk mempunyai dua isteri dan menceraikannya dengan talak tiga.

"Dengan undang-undang baharu itu, kebenaran lelaki mempunyai dua atau lebih isteri pada masa yang sama ditamatkan," katanya kepada Reuters.

Bagaimanapun undang-undang baharu itu tidak menggembirakan Sadaf Jafar walaupun dia memfailkan tuntutan di mahkamah terhadap suaminya kerana berkahwin lain tanpa persetujuannya.

"Poligami dibenarkan dalam Islam di bawah peraturan dan undang-undang yang ketat tetapi ia disalahgunakan," kata Jafar, yang sedang mencari kerja untuk menyara dua anak dan berharap mahkamah India akan memberikan keadilan.

Pemakaian Kanun Sivil Seragam di negeri Uttarakhand membuka jurang antara wanita India termasuk dalam kalangan wanita yang dimadukan.

Beberapa individu seperti aktivis Bano, 49, meraikan peruntukan baharu itu sebagai penegasan undang-undang sekular yang tertunggak ke atas ketetapan syariah selari dalam perkahwinan, perceraian, pewarisan, pengangkatan dan penggantian.

Bagi yang lain seperti Jafar, ahli politik Islam dan cendekiawan Islam, ia adalah tindakan yang tidak diingini, dilakukan parti nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.

Pemakaian undang-undang itu di Uttarakhand dijangka membuka jalan kepada negeri lain yang diperintah oleh Parti Bharatiya Janata (BJP) Modi untuk mengikutinya walaupun berdepan tentangan daripada beberapa pemimpin 200 juta umat Islam, menjadikan India sebagai negara Islam ketiga terbesar di dunia.

Pemimpin BJP berkata peruntukan baharu itu adalah pembaharuan besar, berakar umbi dalam perlembagaan India 1950, yang bertujuan memodenkan undang-undang Islam negara itu dan menjamin kesaksamaan sepenuhnya untuk wanita.

Tinjauan pada 2013 mendapati 91.7 peratus wanita Islam di seluruh negara mengatakan seorang lelaki Islam tidak boleh dibenarkan mempunyai isteri lain.

Umat Islam mendakwa parti Modi menjalankan agenda Hindu yang mendiskriminasi mereka dan mengenakan undang-undang yang mengganggu Islam.

Syariah membenarkan lelaki Islam mempunyai sehingga empat isteri dan ia tidak mempunyai peraturan ketat untuk melarang perkahwinan kanak-kanak di bawah umur.

Mahkamah Agung pada 2017 mendapati perceraian segera Islam tidak berperlembagaan, tetapi perintah itu tidak mengharamkan poligami atau beberapa amalan lain yang dikatakan pengkritik melanggar hak sama rata bagi wanita.

Selain larangan poligami, kod baharu itu menetapkan umur minimum boleh berkahwin untuk kedua-dua jantina dan menjamin bahagian sama rata dalam harta pusaka kepada anak angkat, mereka yang lahir di luar nikah dan mereka yang dikandung melalui kelahiran tumpang.

Walaupun pemimpin BJP dan aktivis hak wanita mengatakan undang-undang itu bertujuan menamatkan amalan regresif, beberapa ahli politik Islam mengatakan ia melanggar hak asasi untuk mengamalkan agama.

Lembaga Undang-undang Peribadi Muslim Seluruh India menyebut undang-undang itu tidak praktikal dan ancaman langsung kepada masyarakat India yang berbilang agama.

"Mengharamkan poligami tidak masuk akal kerana data menunjukkan sangat sedikit lelaki Islam yang mempunyai lebih daripada seorang isteri di India," kata pegawai lembaga S.Q.R. Ilyas sambil menambah bahawa kerajaan tidak berhak mempersoalkan undang-undang syariah.

Berita Harian X