Isnin, 12 Februari 2024 | 12:13am
Penyokong Parti Tehreek-e-Insaf (PTI) mengadakan protes susulan dakwaan berlaku penipuan dan penyelewengan dalam proses pilihan raya umum (PRU), di Karaci, Pakistan. - Foto AFP
Penyokong Parti Tehreek-e-Insaf (PTI) mengadakan protes susulan dakwaan berlaku penipuan dan penyelewengan dalam proses pilihan raya umum (PRU), di Karaci, Pakistan. - Foto AFP

Calon bebas disokong oleh PTI kuasai PRU Pakistan

NEW DELHI: Calon bebas yang mendapat sokongan parti bekas perdana menteri, Imran Khan, dilaporkan mendominasi Pilihan Raya Umum (PRU) Pakistan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan rasmi pada Ahad.

Parti Tehreek-e-Insaf (PTI) memenangi 102 kerusi diikuti Parti Muslim League-Nawaz (PML-N) yang memperoleh 73 kerusi manakala Parti Rakyat Pakistan (PPP) meraih 54 kerusi.

PML-N merupakan parti pimpinan bekas perdana menteri Nawaz Sharif manakala PPP diterajui bekas menteri luar Bilawal Bhutto Zardari.

PTI tetap mampu menunjukkan prestasi memberangsangkan meskipun parti itu berdepan pelbagai cabaran, termasuk beberapa pemimpin kanan ditahan dan simbol parti tidak boleh digunakan.

Imran bertanding sebagai calon bebas dengan menggunakan pelbagai simbol yang dibenarkan SPR Pakistan.

Dewan Rakyat Pakistan mempunyai 336 kerusi dengan 60 kerusi dikhaskan untuk wanita dan 10 untuk bukan Islam.

Memandangkan tiada parti yang memenangi majoriti mudah, kerajaan baharu perlu dibentuk melalui rundingan.

Muttahida Qaumi Movement-Pakistan (MQM-P) yang memenangi 17 kerusi dilaporkan akan mengadakan perbincangan dengan ketua PML-N mengenai kemungkinan untuk mengadakan kerjasama pada Ahad.

PRU ke-12 Pakistan telah diadakan pada 8 Februari lepas yang menyaksikan lebih 90,500 pusat pengundian dibuka bagi membolehkan 128.5 juta pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab masing-masing. - BERNAMA

Berita Harian X