Ahad, 11 Februari 2024 | 10:29pm
Penyokong parti bekas perdana menteri Pakistan, Imran Khan, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), berhimpun bagi protes menuntut pilihan raya yang bebas dan adil di pejabat suruhanjaya pilihan raya mukim di Karachi, Pakistan. - Foto REUTERS
Penyokong parti bekas perdana menteri Pakistan, Imran Khan, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), berhimpun bagi protes menuntut pilihan raya yang bebas dan adil di pejabat suruhanjaya pilihan raya mukim di Karachi, Pakistan. - Foto REUTERS

Polis Pakistan ugut tindakan terhadap bantahan parti Imran Khan

ISLAMABAD: Polis Pakistan hari ini memberi amaran akan bertindak keras terhadap peserta perhimpunan haram anjuran parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) pimpinan Imran Khan.

Amaran dikeluarkan selepas parti bekas perdana menteri itu menggesa penyokongnya melalukan bantahan ke atas dakwaan berlaku penipuan dalam pilihan raya minggu lalu.

Calon bebas yang dikaitkan dengan parti PTI memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya itu, sekali gus menghalang peluang Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) yang disokong tentera untuk memenangi majoriti undi.

Bagaimanapun, calon bebas tidak boleh membentuk kerajaan dan negara itu berdepan beberapa minggu ketidaktentuan politik ketika parti-parti saingan merundingkan kemungkinan gabungan.

Pemimpin PTI mendakwa mereka akan memenangi lebih banyak kerusi jika tiada penipuan undi.

Kehilangan isyarat telefon bimbit di seluruh negara pada hari pilihan raya dan pengiraan keputusan yang perlahan membawa kepada syak wasangka bahawa tentera mempengaruhi proses untuk memastikan kejayaan berpihak kepada PML-N.

"Sepanjang pilihan raya Pakistan dimanipulasi dengan cara yang halus," kata Pengerusi PTI, Gohar Ali Khan.

Sehubungan itu, beliau menyeru penyokong untuk 'membantah secara aman', hari ini dan pihak berkuasa memberi amaran akan mengambil tindakan tegas.

"Sesetengah individu menghasut perhimpunan haram di sekitar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pejabat kerajaan lain.

"Tindakan undang-undang akan diambil terhadap perhimpunan yang menyalahi undang-undang. Perlu diingatkan bahawa meminta untuk mengadakan perhimpunan juga adalah satu jenayah," katanya.

Amaran sama turut dikeluarkan di Rawalpindi, di mana puluhan anggota polis yang dilengkapi peralatan rusuhan berhimpun berhampiran Pasar Liberty di Lahore.

Parti Imran menentang tindakan keras selama berbulan-bulan yang melumpuhkan kempen dan memaksa calon bertanding sebagai calon bebas dan muncul sebagai pemenang pada undian Khamis lalu.

Keputusan akhir diumumkan hari ini, dengan calon bebas memenangi 101 kerusi, PML-N 75, Parti Rakyat Pakistan (PPP) 54, dan Pergerakan Muttahida Qaumi (MQM) 17.

Sebanyak 10 parti kecil mengambil baki 17 kerusi, dengan dua lagi kosong.

Keputusan jelas menunjukkan tiada parti mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan.

Seorang penganalisis politik dan pengarang, Zahid Hussain berkata, masa depan politik negara mulai dari saat ini dan seterusnya adalah sangat tidak menentu.

Pemimpin PTI bagaimanapun, menegaskan mereka diberi 'mandat rakyat' untuk membentuk kerajaan seterusnya.

"Rakyat sudah membuat keputusan memihak kepada Imran Khan," kata Imran kepada Arab News dalam satu wawancara.

Gabungan antara PML-N dan PPP yang membentuk kerajaan terakhir selepas menggulingkan Imran dengan undi tidak percaya pada April tahun lalu, berkemungkinan memerintah.

Ketua tentera negara itu memberitahu ahli politik yang bertelagah supaya menunjukkan 'kematangan dan perpaduan'.

Imran dihalang daripada bertanding dalam pilihan raya selepas dijatuhi beberapa hukuman penjara yang panjang, sebelum pengundian.

Dia disabitkan bersalah awal bulan ini atas tuduhan khianat, rasuah dan perkahwinan yang tidak mengikut hukum Islam dalam tiga perbicaraan berasingan pada hampir 200 kes yang dibawa terhadapnya sejak digulingkan. - AFP

Berita Harian X