Sabtu, 10 Februari 2024 | 11:43pm
Kem induk Everest. - Foto fail AFP
Kem induk Everest. - Foto fail AFP

Pendaki Everest perlu bawa turun najis sendiri

KATHMANDU: Pendaki Gunung Everest akan disyaratkan untuk membawa pulang najis mereka sendiri ke Kem Induk Everest (EBC), untuk dilupuskan, kata pihak berkuasa.

Perbandaran yang meliputi sebahagian besar wilayah Everest itu memperkenalkan peraturan baharu berikutan suhu sejuk melampau menyebabkan najis di Gunung Everest tidak hilang sepenuhnya.

Pengerusi Perbandaran Luar Bandar Pasang Lhamu, Mingma Sherpa, berkata kepada BBC, pihaknya mendapat aduan bahawa najis manusia kelihatan di atas batu dan menyebabkan beberapa pendaki, jatuh sakit.

"Keadaan itu tidak boleh diterima dan mencemarkan imej kami," kata Mingma.

Beliau berkata, pendaki Gunung Everest, puncak tertinggi di dunia, dan Gunung Lhotse yang berhampiran akan diarahkan untuk membeli beg sisa di EBC yang akan diperiksa, selepas mereka turun dari puncak.

Ketika musim pendakian, pendaki menghabiskan sebahagian besar masa mereka di EBC untuk menyesuaikan diri dengan ketinggian dengan khemah berasingan didirikan sebagai tandas dan tong diletakkan di bahagian bawahnya untuk mengumpul najis.

Bagaimanapun, apabila mereka memulakan pendakian, keadaan menjadi lebih sukar. Kebanyakan pendaki dan kakitangan sokongan cenderung untuk menggali lubang untuk membuang air besar, tetapi apabila berada di kawasan semakin tinggi, mereka membuang 'hajat' di kawasan terbuka.

Sangat sedikit pendaki yang membawa semula najis mereka ke dalam beg terbiodegradasi apabila mendaki ke puncak Gunung Everest, yang mungkin mengambil masa berminggu-minggu.

Sampah masih menjadi isu besar di Everest dan pergunungan lain di rantau ini, walaupun terdapat peningkatan jumlah kempen pembersihan, termasuk acara tahunan yang diketuai oleh Tentera Nepal.

Walaupun tiada angka rasmi wujud, satu organisasi menganggarkan terdapat kira-kira tiga tan najis manusia antara kem satu dan kem empat, menuju ke puncak Everest. - AGENSI

Berita Harian X