Sabtu, 10 Februari 2024 | 8:18pm
Rafah yang terletak di sempadan selatan Gaza dengan Mesir, menjadi tempat perlindungan terakhir bagi orang awam yang melarikan diri daripada kempen pengeboman Israel tanpa henti di lokasi lain di Semenanjung Gaza. - Foto AGENSI
Rafah yang terletak di sempadan selatan Gaza dengan Mesir, menjadi tempat perlindungan terakhir bagi orang awam yang melarikan diri daripada kempen pengeboman Israel tanpa henti di lokasi lain di Semenanjung Gaza. - Foto AGENSI

Serangan Israel di Rafah mungkin mengakibatkan puluhan ribu kematian, kecederaan - Hamas

GAZA: Hamas pada Sabtu memberi amaran kemungkinan berlaku 'puluhan ribu' kematian dan kecederaan jika tentera Israel menyerang Rafah, di bahagian selatan Semenanjung Gaza.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada minggu ini, berkata beliau sudah mengarahkan tentera bersiap-sedia untuk masuk ke bandar itu, yang sesak dengan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal, ketika memburu mereka yang bertanggungjawab terhadap serangan maut pada 7 Oktober lalu di selatan Israel.

Pengumuman itu menimbulkan kebimbangan kerajaan asing, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan agensi bantuan yang bergelut dengan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza akibat perang.

Hamas dalam satu kenyataan, berkata sebarang tindakan ketenteraan akan memberi kesan buruk yang 'boleh membawa kepada puluhan ribu syahid dan cedera jika Rafah diceroboh'.

Kumpulan pejuang Palestin yang mengawal Semenanjung Gaza itu, berkata ia akan menganggap 'pentadbiran AS, masyarakat antarabangsa dan pendudukan Israel' bertanggungjawab jika perkara itu berlaku.

Rafah, terletak di sempadan selatan Gaza dengan Mesir, menjadi tempat perlindungan terakhir bagi orang awam yang melarikan diri daripada kempen pengeboman Israel tanpa henti di lokasi lain di Semenanjung Gaza.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, kira-kira separuh daripada 2.4 juta penduduk Gaza kini berlindung di bandar itu, dengan ramai yang tidur dalam khemah dan tempat perlindungan sementara, selain kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kekurangan makanan, air dan sanitasi.

Pada Jumaat, ketua Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, berkata serangan besar Israel di Rafah 'hanya boleh membawa kepada lapisan tambahan tragedi yang tidak berkesudahan'.

Netanyahu mengarahkan pegawai tentera merangka rancangan untuk 'mengeluarkan' Rafah, selain 'memusnahkan' pejuang Hamas di bandar itu.

Saksi melaporkan, serangan baharu ke atas Rafah pada awal Sabtu, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Palestin mengenai pencerobohan darat yang semakin hampir. - AFP

Berita Harian X