Sabtu, 10 Februari 2024 | 5:29pm
Israel melancarkan ratusan serangan udara ke atas jirannya di utara, terutama menyasarkan tentera yang disokong Iran, termasuk pejuang Hizbullah dan kedudukan tentera Syria. - Foto fail REUTERS
Israel melancarkan ratusan serangan udara ke atas jirannya di utara, terutama menyasarkan tentera yang disokong Iran, termasuk pejuang Hizbullah dan kedudukan tentera Syria. - Foto fail REUTERS

Tiga terbunuh dalam serangan udara Israel di Syria

BEIRUT: Tiga terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah bangunan di kawasan mewah berhampiran ibu negara Syria pada awal Sabtu, kata seorang pemantau perang.

Media tempatan melaporkan, pertahanan udara Syria bertindak balas terhadap "serangan udara" Israel itu.

Sejak perang saudara meletus di Syria pada 2011, Israel melancarkan ratusan serangan udara ke atas jirannya di utara, terutama menyasarkan tentera yang disokong Iran, termasuk pejuang Hizbullah dan kedudukan tentera Syria.

Serangan semakin meningkat sejak perang Israel dengan Hamas yang tercetus sejak 7 Oktober lalu.

Ketua badan Pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Britain, Rami Abdel Rahman, berkata dalam insiden terbaru itu, tiga orang terbunuh, namun beliau tidak dapat mengesahkan sama ada yang maut itu dalam kalangan pejuang.

Rami berkata, ramai yang lain cedera dalam serangan di kawasan kejiranan yang menempatkan "villa untuk tentera dan pegawai tertinggi" itu.

Pemantau perang, yang mempunyai rangkaian sumber di dalam Syria sebelum ini melaporkan 'serangan Israel' ke atas 'bangunan kediaman di barat ibu kota Syria Damsyik', dengan bunyi 'letupan ganas'.

Agensi berita negara, SANA memetik sumber tentera melaporkan, kira-kira jam 1.05 pagi waktu tempatan, 'musuh Israel melancarkan serangan udara dari arah Golan Syria yang diduduki, menyasarkan beberapa lokasi di kawasan luar bandar Damsyik'.

Kenyataan itu berkata, pertahanan udara bertindak balas terhadap peluru berpandu dan 'menjatuhkan sebahagian daripadanya', dan serangan itu menyebabkan 'beberapa kerugian material'.

Badan pemantau itu berkata, serangan berlaku beberapa jam selepas kawasan berhampiran lapangan terbang tentera di barat Damsyik diserang peluru berpandu pada Jumaat, manakala kementerian pertahanan berkata, dron memasuki ruang udara Syria dari arah Dataran Tinggi Golan yang diduduki Israel. - AFP

Berita Harian X