Jumaat, 9 Februari 2024 | 8:46am
Pelarian Palestin di kem perlindungan Rahfah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Pelarian Palestin di kem perlindungan Rahfah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

AS 'tunggu dan lihat' Israel bom benteng terakhir di Gaza

TEL AVIV: Amerika Syarikat (AS) hanya kritik, 'tunggu dan lihat' tindakan Israel memperluaskan operasi darat ketenteraan meliputi keseluruhan Rafah, benteng terakhir penduduk Palestin di Gaza.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, mengkritik aktiviti ketenteraan Israel di Gaza, dengan mengatakan kematian orang awam kekal terlalu tinggi walaupun selepas diberikan amaran berulang kali.

Beliau turut mencadangkan langkah khusus untuk diikuti oleh Israel ketika lawatan kelimanya ke wilayah itu sejak 7 Oktober lalu.

Katanya, sebarang operasi ketenteraan yang dilakukan Israel perlu mengutamakan keselamatan orang awam, terutama di Rafah berikutan lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal.

Ketika ditanya sama ada AS hanya akan 'tunggu dan lihat' ketika tentera Israel menyasarkan Rafah, Blinken mengulangi pendirian negara itu bahawa operasi ketenteraan Israel harus mengutamakan orang awam.

Tentera Israel menahan lelaki Palestin ketika serbuan di kem pelarian Al-Amari dekat Ramallah, tebing Barat yang diduduki. - Foto AFP
Tentera Israel menahan lelaki Palestin ketika serbuan di kem pelarian Al-Amari dekat Ramallah, tebing Barat yang diduduki. - Foto AFP

Diplomat AS menggesa Israel mengubah taktiknya di Gaza, namun tidak memberikan tekanan lebih besar seperti mengehadkan bantuan ketenteraan tahunannya sebanyak AS$3.8 bilion (RM18 bilion) kepada Israel atau hentikan sokongan kepada sekutu lamanya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Lebih separuh daripada penduduk Palestin berada di Rafah dan berpindah beberapa kali untuk melarikan diri daripada konflik itu.

Perkembangan di Rafah, bandar kedua terbesar di selatan Gaza selepas Khan Younis, turut dipantau Kaherah, yang enggan membenarkan pelarian Palestin masuk ke semenanjung Sinai di Mesir.

Israel mengebom Rafah dan penduduk kini takut dengan serangan darat kerana tiada tempat lagi untuk mereka lari selepas dihimpit hingga sempadan Mesir.

Tentera Isreal berkata ia sedang 'mengupas lapisan demi lapisan' infrastruktur Hamas di Khan Younis, di mana pemimpin tertinggi Hamas di Gaza, Yahya Sinway, yang dituduh mendalangi serangan 7 Oktober lalu, disyaki bersembunyi.

Seorang pegawai kanan tentera Israel berkata operasinya di Khan Younis adalah bagi memusnahkan Hamas dan menyelamatkan tebusan, biarpun ia mengambil masa 'dua jam, dua hari, dua minggu, dua bulan atau lebih lama'.

Tentera Israel mendakwa sudah membunuh 2,000 penyerang bersenjata, mencederakan 4,000 dan menahan ratusan lagi dalam fasa perang kali ini.

Mereka juga mendakwa sudah memusnahkan Brgiade Hamas di Khan Younis, yang sebelum perang memiliki lima batalion, namun ia tidak dapat disahkan Reuters kerana Hamas jarang memaklumkan kekuatan tentera atau kehilangan di medan perang.

Minggu lalu, Menteri Pertahanan, Yoav Gallant memberitahu kempen Israel akan berkembang ke bandar itu untuk menyasarkan pejuang Hamas.

Jurucakap Rumah Putih, John Kirby berkata, sebarang serangan ke atas Rafah tanpa pertimbangan sewajarnya terhadap orang awam akan mengakibatkan 'bencana'.

Hampir 28,000 orang terbunuh dalam kempen ketenteraan Israel di Gaza.

Israel berkata ia mengambil langkah untuk mengelak korban awam dan menuduh Hamas bersembunyi dala kalangan orang awam, termasuk di pusat perlindungan sekolah dan hospital, yang membawa kepada kematian lebih ramai orang awam.

Hamas bagaimanapun menafikan perkara itu. - REUTERS

Berita Harian X