Khamis, 8 Februari 2024 | 9:55am
Pelarian Palestin yang bersesak di khemah sementara selepas sasaran serangan Israel meningkat di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Pelarian Palestin yang bersesak di khemah sementara selepas sasaran serangan Israel meningkat di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Israel tolak tawaran gencatan senjata terbaru Hamas

TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak tawaran terbaru Hamas berhubung gencatan senjata dan pengembalian tebusan Israel yang ditahan di Semenanjung Gaza.

Namun, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken berkata, masih ada ruang untuk rundingan ke arah gencatan senjata dan perjanjian damai.

Blinken bertemu pemimpin Qatar dan Mesir Selasa lalu dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di Ramallah semalam.

Hamas, mencadangkan gencatan senjata selama empat setengah bulan, di mana semua tebusan akan dibebaskan dan Israel mengundurkan tenteranya dari Gaza serta persetujuan dicapai untuk menamatkan perang.

Tawaran Hamas itu adalah tindak balas kepada cadangan awal yang dirangka oleh ketua perisik AS dan Israel serta dihantar kepada Hamas minggu lalu oleh pengantara Qatar dan Mesir.

Bagaimanapun, Netanyahu menyifatkan tawaran terbaru Hamas itu sebagai 'khayalan' dan menolaknya sama sekali.

Malah, beliau memperbaharui ikrar untuk memusnahkan gerakan Islam itu, dengan mengatakan tidak ada alternatif untuk Israel selain menghapukan terus Hamas secara keseluruhan.

"Tekanan tentera yang berterusan adalah sesuatu yang diperlu dikekalkan untuk memastikan pembebasan tebusan," katanya.

Namun Blinken, tetap menaruh harapan bahawa gencatan senjata itu boleh berjaya, selepas mengadakan perjumpaan dengan Netanyahu.

"Memang ada beberapa cadangan yang disyorkan Hamas itu tidak dapat dipertimbangkan," katanya pada sidang media lewat semalam, di sebuah hotel di Tel Aviv, yanpa menyatakan butiran cadangan Hamas.

Berdasarkan dokumen yang dilihat Reuters dan disahkan beberapa sumber, Hamas menetapkan tiga syarat utama bagi memulakan rundingan gencatan senjata.

Kanak-kanak Palestin yang cedera akibat serangan Israel berehat di di Hospital Abu Yousef Al-Najjar di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Kanak-kanak Palestin yang cedera akibat serangan Israel berehat di di Hospital Abu Yousef Al-Najjar di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS

Pertama, dalam tempoh 45 hari pertama, semua tebusan wanita Israel, lelaki berusia bawah 19 tahun, warga tua dan mereka yang sakit akan dibebaskan, bertukar dengan pembebasan tahanan wanita dan kanak-kanak Palestin dari penjara Israel selain tentera Israel turut berundur dari kawasan berpenduduk di Gaza.

Pelaksanaan fasa kedua tidak akan dimulakan selagi kedua-dua pihak belum memuktamadkan rundingan mengakhiri operasi tentera dan mengembalikan keamanan.

Fasa kedua pula merangkumi pembebasan baki tahanan lelaki dan pengunduran penuh Israel dari keseluruhan Gaza manakala fasa ketiga membabitkan pertukaran mayat antara kedua-dua pihak.

Israel sebelum ini berkata ia tidak akan menarik tenteranya keluar dari Gaza atau menamatkan perang sehingga Hamas dihapuskan dan kini berusaha untuk menawan Khan Younis, bandar utama di selatan Gaza.

Minggu lalu, Israel berkata ia merancang untuk menyerbu Rafah selain mendakwa membunuh puluhan orang dalam pertempuran sepanjang tempoh 24 jam yang lalu.

Seorang pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri, menyifatkan kenyataan Netanyahu sebagai 'keberanian politik' yang menunjukkan niat pemimpin Israel itu untuk meneruskan konflik di rantau berkenaan demi kepentingan politik peribadi.

Seorang lagi pegawai Hamas, Osama Hamdan, berkata delegasi Hamas yang diketuai oleh pegawai kanan Hamas, Khalil Al-Hayya akan pergi ke Kaherah, hari ini, untuk rundingan gencatan senjata dengan pengantara Mesir dan Qatar.

Hamdan menggesa puak bersenjata Palestin untuk terus berperang sehingga tuntutan mereka dipenuhi dan mencapai matlamat penubuhan negara Palestin.

Di Rafah, selatan Semenanjung Gaza, kini lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk Palestin bersesak dalam kawasan sempit dekat sempadan Mesir, dengan 10 jenazah yang maut dalam serangan Israel semalam, sedang disediakan untuk dikebumikan.

Naib Presiden Kecemasan, Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa, Bob Kitchen, berkata kemaraan tentera Israel sehingga ke benteng terakhir di sempadan Mesir bermakna talian hayat bagi penduduk Palestin dari Mesiar akan perputus.

"Jika penduduk Palestin ini tidak terbunuh akbibat serangan, mereka berdepan risiko mati kebuluran atai akibat penyakit," katanya. - REUTERS

Berita Harian X