Selasa, 6 Februari 2024 | 10:34pm
Penyerang berusaha untuk mendapatkan maklumat log masuk, bukti kelayakan dan kunci penyulitan, kata Manila. - Foto AGENSI
Penyerang berusaha untuk mendapatkan maklumat log masuk, bukti kelayakan dan kunci penyulitan, kata Manila. - Foto AGENSI

Filipina gagalkan serangan siber ke atas Marcos, agensi kerajaan

MANILA: Filipina berjaya menggagalkan beribu-rbu serangan siber canggih yang menyasarkan laman web Presiden Ferdinand Marcos, pasukan pengawal pantai dan agensi kerajaan lain, kata seorang pegawai hari ini.

Penggodam memulakan serangan siber tahun lalu dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan siapa pelakunya yang didakwa berpangkalan di China.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (DICT) Filipina, Jeffrey Ian Dy dalam sidang kongres.

Ian Dy berkata, penyerang menggunakan pelbagai alamat protokol internet daripada cnc.net yang 'terletak dalam China'.

Bagaimanapun, beliau berkata Filipina memerlukan bantuan daripada China untuk menentukan sama ada mereka adalah 'pelaku sebenar'.

Jurucakap DICT, Renato Paraiso, sebelum ini pernah berkata, mereka tidak menuduh sesiapa dalam kerajaan China terbabit kegiatan itu.

Dua pelayar atau server yang menghoskan pelbagai laman web pentadbiran kebajikan pekerja luar negara diserang antara Disember tahun lalu dan bulan ini, kata Ian Dy.

Tambahnya, penggodam berusaha untuk mendapatkan butiran log masuk, tauliah dan kunci penyulitan.

Sejak tahun lalu lagi, Ian Dy mendedahkan bahawa penggodam mahu membenamkan perisian hasad dalam laman web peribadi Marcos, Pengawal Pantai Filipina, Jabatan Kehakiman dan DICT yang menggunakan perkhidmatan awan Google.

"Jenis serangan yang digunakan sangat canggih. Satu perisian hasad yang tertanam dalam memori akses rawak komputer yang tidak dapat dikesan oleh perisian anti-virus.

"Kami dapat mempertahankannya dan kami sudah dapat mengalih keluar kesan perisian hasad ini.

"Kami juga menyekat struktur rahan dan kawalan supaya mereka tidak lagi boleh membahayakan kami," katanya.

Sementara itu, Kedutaan China di Manila memaklumkan bahawa Beijing tidak terbabit dalam serangan itu sambil menegaskan, pihaknya menentang dan membanteras semua bentuk serangan siber, termasuk aktiviti haram lain di China atau menggunakan infrastruktur China.

Ketika ditanya mengenai serangan siber itu, Kementerian Luar China semalam menyifatkan keselamatan siber sebagai cabaran global.

"China sentiasa tegas membanteras serangan siber dalam semua bentuk, mengikut undang-undang dan terbabit untuk berdialog serta bekerjasama antara semua negara untuk bersama-sama menjaga keselamatan siber," kata jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin pada sidang media. - AFP

Berita Harian X