Selasa, 6 Februari 2024 | 9:29pm
Malligavad telah memulihkan lebih 80 tasik yang meliputi lebih 360 hektar secara keseluruhan. - Foto AGENSI
Malligavad telah memulihkan lebih 80 tasik yang meliputi lebih 360 hektar secara keseluruhan. - Foto AGENSI

'Lelaki tasik' membersihkan bekalan air kritikal

BENGALURU: Seorang lelaki bertindak memulihkan kembali tasik purba sebagai sumber membekalkan air, apabila kini kebanyakan kawasan itu sudah tercemar atau ditutup untuk dijadikan tempat pembuangan sampah.

Suatu ketika dulu, sistem tasik purba pernah gah apabila ia pernah membekalkan Bengaluru dengan bekalan air kritikal, namun segalanya berubah kerana ia terkesan akibat perkembangan pesat hab teknologi negara itu.

Ekoran pelan pemodenan yang tergesa-gesa, ia sekali gus memberi kesan terhadap bandar yang dahulunya terkenal dengan 'kelimpahan' takungan air untuk kegunaan penduduk di kawasan itu.

Seorang jurutera mekanikal, Anand Malligavad, yang digelar 'lelaki tasik' terpaksa bertindak menyelamatkan tasik yang pernah menjadi sumber bekalan air bersih selepas 'Lembah Silikon India' yang memiliki populasi sebanyak 12 juta penduduk itu kini bakal menghadapi isu air.

"Tasik adalah paru-paru bumi. Saya beritahu semua orang jika anda mempunyai wang, lebih baik belanjakan untuk pulihkan tasik. Beberapa dekat kemudian, ia akan memberi manfaat kepada anda," katanya lelaki berusia 43 tahun yang sedang menjalankan kempen 'menghidupkan' kembali tasik untuk menyalurkan bekalan air.

Menurut badan pemikir kerajaan NITI Aayog, kekurangan air adalah krisis kronik di India yang cuma memilik empat peratus bekalan air untuk kegunaan penduduk di negara yang mempunyai populasi hampir satu perlima penduduk dunia.

Misi pertama Malligavad adalah tapak dipenuhi sampah dan kering yang dilaluinya dalam perjalanan ke tempat kerja di kilang pembuatan komponen automotif.

"Saya fikir ini bukan masa memberi inspirasi kepada orang... Biar saya mula melakukannya. Biarlah ia bermula daripada saya dulu," katanya.

Dia mula dengan mengkaji kemahiran yang digunakan semasa pemerintahan berabad lamanya sewaktu zaman Dinasti Chola, yang menjadikan kawasan rendah sebagai takungan cetek, berfungsi menyediakan air untuk minuman dan pengairan.

Tasik itu boleh menyimpan hujan monsun yang lebat dan membantu menambah kapasiti penyimpanan air bawah tanah.

Daripada 1,850 tasik yang pernah 'wujud' di bandar itu, cuma kurang 450 kawasan yang kekal sehingga hari ini.

Banyak tasik yang musnah untuk dijadikan tapak pembinaan menara tinggi, manakala terusan pula dipenuhi dengan konkrit.

Ia bermaksud hujan lebat kini berisiko mencetuskan banjir kelak.

Data Pusat Penyelidikan Makmal Air, Alam Sekitar, Tanah dan Kehidupan Rakyat (WELL), hampir separuh penduduk Bengaluru bergantung air yang disedut daripada lubang gerudi bawah tanah, yang sering kering pada musim panas.

Oleh yang demikian, kebanyakan penduduk terpaksa bergantung kepada sumber air lebih mahal yang dibawa masuk dari jauh.

Masalah itu kemungkinan berpotensi menjadi lebih teruk apabila perubahan iklim mendorong peningkatan suhu global yang lebih tinggi termasuk boleh mempengaruhi corak cuaca.

Ketua Makmal WELL, Veena Srinivasan, berkata memulihkan tasik boleh mengurangkan masalah tetapi bandar itu masih memerlukan pelan pengurusan air bandar berskala besar.

Dia sanggup berjalan kaki untuk melawat lebih 180 tasik purba dan menyimpulkan bahawa ia hanya memerlukan 'kos murah' untuk memulihkan kawasan itu.

"Ia tidak menggunakan bahan mahal tetapi hanya tanah, air, tumbuhan dan terusan," katanya.Untuk menjayakan insiatif itu, dia turut memujuk syarikatnya untuk mengumpul kira-kira AS$120,000 (RM571,789) untuk membiayai projek pertamanya, membabitkan pemulihan Tasik Kyalasanahalli seluas 14 hektar.

Menceritakan pengalamannya sebelum ini, dia dan pekerjanya mengambil masa kira-kira 45 hari untuk membersihkan tapak itu menggunakan jengkaut pada 2017.

Terlebih dahulu, katanya baki air tasik perlu dialirkan untuk membuang kelodak dan rumpai.Kemudian, katanya empangan perlu dikuatkan, pemulihan terusan di sekeliling perlu dilakukan termasuk mencipta lagun, sebelum menanam semula tapak dengan pokok asli serta tumbuhan akuatik.

"Jangan masukkan apa-apa ke dalamnya. Sememangnya, hujan akan datang dan secara semula jadi, ekosistem akan dibina," katanya.

Setakat ini, dia berjaya memulihkan lebih 80 tasik yang meliputi lebih 360 hektar secara keseluruhan, dan berkembang ke sembilan negeri India yang lain. - AFP

Berita Harian X