Selasa, 6 Februari 2024 | 9:27pm
Bekas penggubal undang-undang Hong Kong, Ted Hui antara beberapa aktivis luar negara yang menjadi sasaran tahun lalu, apabila polis menawarkan habuan sebanyak AS$128,000 (RM609,879) bagi setiap daripada mereka yang berjaya diberkas. - Foto AGENSI
Bekas penggubal undang-undang Hong Kong, Ted Hui antara beberapa aktivis luar negara yang menjadi sasaran tahun lalu, apabila polis menawarkan habuan sebanyak AS$128,000 (RM609,879) bagi setiap daripada mereka yang berjaya diberkas. - Foto AGENSI

Aktivis Hong Kong dalam buangan, Ted Hui dikenakan perintah muflis

HONG KONG: Mahkamah Tinggi Hong Kong hari ini mengeluarkan perintah muflis terhadap Ted Hui, seorang aktivis prodemokrasi terkenal.

Hui juga adalah bekas penggubal undang-undang dalam buangan, kerana dituduh melanggar undang-undang keselamatan negara di kotaraya itu.

Aktivis veteran berusia 41 tahun itu, mengumumkan pada Disember 2020 bahawa dia hidup dalam buangan berikutan tindakan keras China terhadap perbezaan pendapat di Hong Kong.

Hui antara beberapa aktivis luar negara yang menjadi sasaran tahun lalu, apabila polis menawarkan habuan sebanyak AS$128,000 (RM609,879) bagi setiap daripada mereka yang berjaya diberkas.

Pada masa itu, pihak berkuasa menuduh mereka melakukan kesalahan yang sangat serius sehingga membahayakan keselamatan negara.

Dalam perbicaraan ringkas yang berlangsung hari ini, seorang hakim Mahkamah Tinggi Hong Kong membuat perintah muflis terhadap Hui.

Hakim Ken Yee berkata, dokumen undang-undang sudah disampaikan secara sah kepada penghutang namun tidak pernah dijawab.

Hui tidak diwakili di mahkamah.

Pada 2019, Hui yang digelar pemprotes berprofil tinggi dalam protes demokrasi besar dan ganas berlaku di hab kewangan China pada waktu itu.

Selepas melarikan diri dari Hong Kong, aktivis itu menetap di Australia dan kekal sebagai pengkritik lantang pihak berkuasa Hong Kong dan Beijing.

Pada 2022, Hui dijatuhi hukuman penjara tanpa kehadirannya kerana mengelirukan pihak berkuasa supaya membenarkannya meninggalkan Hong Kong.

Hui juga dikehendaki oleh pihak berkuasa Hong Kong kerana menghasut pengundi membuang undi kosong dalam pilihan raya 2021, selepas Beijing dikatakan merombak sistem itu.

Dua tahun lalu, dia pernah mengkritik HSBC kerana bertindak tidak munasabah dengan membekukan akaun banknya, selepas institusi perbankan gergasi itu mematuhi permintaan polis Hong Kong untuk berbuat demikian. - AFP

Berita Harian X