Selasa, 6 Februari 2024 | 11:54am
Foto yang diambil dari Rafah di selatan Semenanjung Gaza menunjukkan kepulan asap di atas bangunan di Khan Yunis berikutan pengeboman Israel pada 5 Februari 2024. - Foto AFP
Foto yang diambil dari Rafah di selatan Semenanjung Gaza menunjukkan kepulan asap di atas bangunan di Khan Yunis berikutan pengeboman Israel pada 5 Februari 2024. - Foto AFP

Israel teruskan serangan di tengah-tengah desakan gencatan senjata

BAITULMAQDIS: Israel meneruskan pertempuran di utara Semenanjung Gaza semalam di tengah-tengah gesaan antarabangsa yang semakin meningkat untuk disegerakan gencatan senjata.

Dalam kemas kini operasi terbarunya, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melaporkan tenteranya kembali ke kawasan tempat mereka beroperasi sebelum ini.

Sejak beberapa minggu lalu, serangan di utara Semenanjung itu telah berkurangan berikutan penegasan Israel untuk mendapatkan kawalan ke atas kawasan berkenaan, sekali gus menyaksikan orang yang kehilangan tempat tinggal berharap boleh kembali ke rumah mereka.

"Pasukan yang beroperasi di bawah bahagian itu menghalang Hamas daripada membina semula keupayaannya," Komander Divisyen ke-162 IDF, Itzik Cohen, berkata dalam kemas kini itu, sambil menegaskan pasukan itu memperhebatkan operasi ke atas Hamas yang tinggal di kawasan itu.

Pengeboman Israel berterusan di seluruh kawasan itu, termasuk di Khan Younis, bandar terbesar di selatan Gaza, lapor agensi berita rasmi Palestin WAFA.

Pada hujung minggu, sekurang-kurangnya 20 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel ke atas Rafah, sebuah bandar yang sebelum ini ditetapkan sebagai zon selamat oleh tentera Israel.

Lebih separuh daripada lebih dua juta penduduk Gaza melarikan diri ke Rafah, menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan di wilayah Palestin yang diduduki.

Sekurang-kurangnya 133 rakyat Palestin terbunuh dan 205 cedera di Gaza sejak 24 jam lalu, Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas melaporkan awal pagi semalam.

Kementerian itu berkata lebih 27,478 rakyat Palestin terbunuh dan 66,835 lagi cedera akibat serangan Israel ke atas Gaza, yang dicetuskan oleh serangan mengejut Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Pada pagi semalam, konvoi bantuan makanan terkena tembakan Israel ketika menunggu untuk bergerak ke utara Gaza, menurut Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

"Syukurlah, tiada siapa yang cedera," Tom White, pengarah hal ehwal UNRWA di Gaza, menulis dalam satu catatan di platform media sosial X.

Sumber keselamatan Israel memberitahu Xinhua bahawa tentera sedang menyemak laporan itu tanpa memberikan maklumat lanjut.

Sementara itu, Menteri Luar Perancis Stephane Sejourne, semalam pada sidang media ketika lawatan rasmi pertamanya ke Israel menggesa Israel memudahkan "gencatan senjata segera" dan "kemasukan besar-besaran" bantuan ke Gaza.

Ketika pengantara Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat sedang menunggu jawapan daripada Hamas kepada tawaran gencatan senjata, termasuk pembebasan tebusan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberitahu parti sayap kanannya, Likud bahawa perang tidak hampir berakhir.

"Matlamat kami adalah kemenangan sepenuhnya ke atas Hamas. Kami akan membunuh kepemimpinan Hamas. Oleh itu, kami mesti terus bertindak di semua kawasan di Semenanjung Gaza," katanya. - AGENSI

Berita Harian X