Isnin, 5 Februari 2024 | 2:47pm
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken menaiki pesawat di Pangkalan Bersama Andrews, Maryland pada 4 Februari 2024. - Foto AFP
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken menaiki pesawat di Pangkalan Bersama Andrews, Maryland pada 4 Februari 2024. - Foto AFP

AS, negara Arab bincang perjanjian tebusan Israel-Palestin

SHANNON, IRELAND: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken akan berbincang dengan pemimpin negara Arab mengenai langkah segera untuk membina semula Gaza dan menyelesaikan konflik Palestin, jika Israel dan Hamas menerima perjanjian tebusan.

Lawatan ke Arab Saudi, menandakan bermulanya perjalanan kelima ke Asia Barat pemimpin itu sejak perang Israel-Palestin meletus pada 7 Oktober lalu.

Mengikut jadual, Blinken akan membincangkan cadangan yang dicapai seminggu lebih awal di Paris oleh Ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan beberapa pegawai Mesir, Qatar dan Israel untuk menghentikan perang yang masuk hampir empat bulan.

"Mustahil untuk katakan sama ada kita akan mencapai kejayaan. Bola sekarang berada di pihak Hamas," kata sumber yang juga seorang pegawai kanan Jabatan Negara yang turut mengikuti Blinken.

Dalam lawatan ke Mesir, Qatar, Israel dan Tebing Barat, sumber memberitahu bahawa Blinken akan berusaha meletakkan asas supaya tindakan segera dapat diambil setelah perang Israel-Palestin memberi implikasi ketara sehingga meningkatkan ketegangan di rantau terbabit.

"Jika kami mendapat jeda kemanusiaan, kami mahu berada dalam posisi untuk bergerak secepat mungkin pada pelbagai bahagian," kata sumber.

Difahamkan pelan pembinaan semula Gaza selepas banyak bangunan musnah ekoran operasi ketenteraan tanpa henti Israel, termasuk memperkenal 'peta jalan' bagi mewujudkan negara Palestin, adalah idea yang ditentang keras oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Satu lagi matlamat utama yang Blinken bakal sentuh adalah usaha menormalisasikan hubungan negara Arab dengan Israel, kata sumber.

Sebelum perang Israel-Palestin meletus pada 7 Oktober lalu, Arab Saudi sudah pun mengadakan perbincangan untuk mengiktiraf Israel.

Ia sekali gus akan menjadi langkah penting kerana Arab Saudi adalah penjaga dua tapak paling suci dalam Islam.

Blinken yang dijangka bertemu Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, pernah berkata dalam lawatan terakhir pada bulan lalu yang menyifatkan Riyadh masih mempunyai kepentingan jelas dalam menormalisasikan hubungan dengan Israel

Israel pula menghadapi kritikan hebat oleh dunia Arab kerana menggunakan kekerasan dan sekatan ketat terhadap Palestin.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 27,000 orang maut di wilayah itu. Bahkan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran risiko kebuluran dalam kalangan penduduk Gaza kerana kekurangan bekalan makanan, air dan ubat-ubatan.

Sementara itu, Penasihat Keselamatan AS, Jake Sullivan, berkata Blinken akan memberi tekanan kepada Israel untuk menangani situasi kemanusiaan di Gaza.

"Ini akan menjadi keutamaannya apabila beliau melihat kerajaan Israel bahawa keperluan rakyat Palestin adalah sesuatu yang akan menjadi keutamaan dalam pendekatan AS," katanya ketika ditemuramah stesen televisyen CBS News.

Menurut sumber, AS akan menyentuh soal isu kemanusiaan dalam perbincangan dengan Israel nanti. - AFP

Berita Harian X