Isnin, 5 Februari 2024 | 8:32am
 Foto REUTERS
Foto REUTERS

Firma multinasional rugi lebih RM122 juta kena tipu 'deepfake'

HONG KONG: Sebuah firma multinasional kerugian kira-kira AS$26 juta (RM122.65 juta) apabila 'scammer' menyamar eksekutif kanan firma itu menggunakan teknologi 'deepfake', kata polis Hong Kong semalam, kes pertama seumpamanya di bandar itu.

Kaedah 'deepfake' menjerat mangsa apabila teknologi itu mampu meniru suara, gaya dan rupa milik individu yang sebenar.

Agensi penguatkuasaan undang-undang sedang bersaing dengan kecerdasan buatan generatif, yang menurut pakar berpotensi untuk disalah maklumat dan penyalahgunaan - seperti imej palsu yang menunjukkan orang bercakap perkara yang tidak pernah mereka katakan.

Seorang pekerja syarikat di hab kewangan China menerima panggilan sidang video daripada seseorang yang menyamar sebagai pegawai kanan syarikat yang meminta memindahkan wang ke akaun bank ditetapkan, polis memberitahu AFP.

Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 29 Januari, yang mana kira-kira HK$200 juta (AS$26 juta) telah hilang melalui 15 transaksi.

"Siasatan masih diteruskan dan tiada tangkapan dibuat setakat ini," kata polis, tanpa mendedahkan nama syarikat itu.

Mangsa bekerja di bahagian kewangan dan penipu berpura-pura menjadi ketua pegawai kewangan firma itu yang berpangkalan di United Kingdom, menurut laporan media Hong Kong.

Pemangku Penguasa Kanan Baron Chan berkata, panggilan sidang video itu membabitkan beberapa pihak tetapi kesemuanya kecuali mangsa menyamar.

"Penipu menemui video dan audio sasaran penyamaran yang tersedia secara terbuka melalui YouTube, kemudian menggunakan teknologi 'deepfake' untuk mencontohi suara mereka... untuk menarik mangsa supaya mengikut arahan mereka," kata Chan kepada pemberita.

Video 'deepfake' itu telah dirakam terlebih dahulu dan tidak membabitkan dialog atau interaksi dengan mangsa, katanya. - AFP

Berita Harian X