Ahad, 4 Februari 2024 | 9:33pm
Seekor harimau bintang salji atau digelar `Hantu Gunung’ yang jarang ditemui di Afghanistan, kini diletakkan di sebuah kandang di kediaman gabenor di Faizabad, hari ini. - Foto AFP
Seekor harimau bintang salji atau digelar `Hantu Gunung’ yang jarang ditemui di Afghanistan, kini diletakkan di sebuah kandang di kediaman gabenor di Faizabad, hari ini. - Foto AFP

`Hantu Gunung' ditemui di Afghanistan

FAIZABAD, Afghanistan: Pihak berkuasa Afghanistan menangkap seekor harimau bintang salji yang jarang ditemui di timur laut pergunungan negara itu pada Khamis lalu.

Ia bagaimanapun ia akan dilepaskan kembali ke hutan selepas dilaporkan membunuh berpuluh-puluh haiwan ternakan, menurut kumpulan pemuliharaan.

Timbalan Gabenor wilayah Faizabad, Abdulrahman Kasra berkata harimau bintang salji yang terancam itu berjaya ditangkap selepas terperangkap dalam kandang ternakan di daerah luar bandar Zibak.

"Harimau bintang itu dibawa ke ibu kota wilayah Faizabad dan ditahan di perkarangan gabenor," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pejabat Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar di Badakhshan, Khorosh Sahel berkata, seorang doktor haiwan merawat kecederaan kecil pada haiwan itu dan akan dilepaskan semula ke hutan.

"Pihak berkuasa berjanji kepada kami bahawa mereka akan melepaskan harimau bintang itu kembali ke daerah Zibak tidak lama lagi," katanya kepada AFP.

Pergunungan timur laut Afghanistan adalah satu daripada beberapa habitat harimau bintang salji yang sukar difahami dan digelar `hantu gunung'.

Haiwan itu disenaraikan sebagai spesies `terancam' oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), dengan bilangannya berkurangan disebabkan oleh kesan perubahan iklim, kehilangan habitat dan pemburuan haram.

Pakar memberi amaran bahawa suhu yang lebih panas boleh mendorong petani untuk bergerak lebih jauh ke atas gunung untuk menanam tanaman dan menjaga ternakan hingga menceroboh wilayah harimau salji.

Dalam kejadian yang sama tahun lalu, kira-kira 40 haiwan ternakan dilaporkan dibunuh oleh harimau bintang salji di Badakhshan.

- AFP

Berita Harian X