Jumaat, 2 Februari 2024 | 10:26am
Serangan Israel di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, - Foto AFP
Serangan Israel di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, - Foto AFP

Israel mahu mara ke selatan, berdekatan Rafah

BAITULMAQDIS: Israel kini bersedia untuk mara ke atas jauh lebih ke selatan Gaza berdekatan dengan sempadan Mesir, selepas mendakwa sudah berjaya musnahkan Hamas di Khan Younis.

Pada masa sama, usaha diplomatik turut dijalankan untuk mempercepatkan pencapaian gencatan senjata.

Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, semalam berkata mereka berjaya tumpaskan kumpulan Palestin di bandar selatan Gaza, Khan Younis, selepas melancarkan serangan darat besar minggu lalu.

Kini, tentera Yahudi mula mara ke Rafah di sempadan selatan wilayah itu, ketika lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza sedang berlindung di sana dalam kesejukan dan kelaparan di khemah sementara dan bangunan awam.

"Kami sudah mencapai misi kami di Khan Younis dan kami juga akan sampai ke Rafah dan menghapuskan unsur keganasan yang mengancam kami," kata Gallant dalam satu kenyataan.

Dalam tempoh ini, negara pengantara Qatar dan Mesir mengharapkan tindak balas positif daripada Hamas , terhadap cadangan konkrit pertama bagi menghentikan pertempuran berpanjangan, dipersetujui Israel dan Amerika Syarikat (AS) pada rundingan di Paris minggu lalu.

Seorang pegawai Palestin yang rapat dengan rundingan itu memberitahu Reuters bahawa fasa pertama membayangkan gencatab senjata selama 40 hari, dengan pertempuran dihentikan dan Hamas membebaskan 100 tebusan yang diculik.

Fasa selanjutnya akan menyaksikan penyerahan tentera Israel yang ditahan dan mayat tebusan yang mati.

Seorang pegawai Palestin berkata, Hamas tidak mungkin menolak cadangan itu secara terang-terangan, tetapi akan menuntut jaminan bahawa pertempuran tidak akan diteruskan, namun ia sesuatu yang tidak dipersetujui Israel.

Penduduk Gaza berkata, tentera Israel sudah menggempur kawasan sekitar hospital di Khan Younis dan meningkatkan serangan berhampiran Rafah.

Pertempuran juga meningkat dalam beberapa hari kebelakangan ini di kawasan utara sekitar Kota Gaza yang didakwa Israel sudah ditumpaskan beberapa minggu lalu. - REUTERS

Berita Harian X