Isnin, 29 Januari 2024 | 4:27pm
Lelaki terbabit dijatuhi hukuman mati pada September 2023. - Foto AFP
Lelaki terbabit dijatuhi hukuman mati pada September 2023. - Foto AFP

Iran hukum gantung empat lelaki didakwa pengintip Israel

TEHRAN: Empat lelaki Iran dihukum gantung, subuh semalam, selepas didapati bersalah bekerjasama dengan musuh ketat negara itu, Israel dalam rancangan untuk mensabotaj tapak pertahanan Iran, menurut badan kehakiman.

Menurut laporan dipetik daripada Mizan Online, badan kehakiman itu memaklumkan, empat defendan terbabit dikenal pasti sebagai Mohammad Faramarzi, Mohsen Mazloum, Wafa Azarbar dan Pejman Fatehi.

Mereka ditahan pada Julai 2022 dan dituduh merancang untuk menjalankan operasi terhadap pusat Kementerian Pertahanan di wilayah tengah Isfahan.

"Hukuman mati terhadap empat anggota kumpulan yang bergabung dengan pertubuhan pengintip rejim Zionis ditahan... kerana merancang operasi pengeboman di Isfahan, (hukuman) itu dilaksanakan pagi ini," lapor Mizan Online.

Menurut Iran, kesemua lelaki terbabit direkrut oleh perkhidmatan agensi perisikan Israel, Mossad kira-kira satu tahun setengah sebelum operasi berkenaan.

Menurut badan kehakiman, mereka dihantar ke negara di Afrika untuk 'kursus latihan di pusat tentera' yang mana pegawai Mossad turut hadir.

Hukuman mati ke atas kesemua mereka dibuat pada September tahun lalu.

Pada Ogos tahun lalu, Iran mendakwa telah menggagalkan projek yang dimulakan oleh Mossad, disifatkan sebagai 'sangat kompleks' untuk 'mensabotaj' industri peluru berpandu balistiknya.

Beberapa bulan sebelum itu, pada Februari, Tehran menuduh Israel bertanggungjawab atas serangan dron ke atas tapak tenteranya di Isfahan.

Kedua-dua negara terbabit berada dalam perang bayangan selama beberapa dekad, dengan Iran kerap menuduh Israel dan sekutunya Amerika Syarikat melancarkan serangan tersembunyi yang ada kalanya turut membabitkan pihak ketiga seperti serangan bom, pembunuhan dan perisikan. - AFP

Berita Harian X