Isnin, 29 Januari 2024 | 10:46am
Sebuah kereta kebal Israel meredah timbunan runtuhan ketika penduduk Palestin mula meninggalkan Khan Younis menuju ke Rafah susulan peningkatan serangan darat tentera Yahudi. - Foto REUTERS
Sebuah kereta kebal Israel meredah timbunan runtuhan ketika penduduk Palestin mula meninggalkan Khan Younis menuju ke Rafah susulan peningkatan serangan darat tentera Yahudi. - Foto REUTERS

2 hospital utama di Khan Younis terus dibom Israel

GAZA: Kemudahan perubatan di Khan Younis, bandar selatan Gaza yang kini menjadi tumpuan serangan Israel berisiko musnah sama sekali, kata Kementerian Kesihatan Gaza, susulan pertempuran bertambah sengit di seluruh wilayah Palestin.

Sementara itu, penduduk berkata pesawat dan kereta kebal Israel turut menggempur kawasan utara Bandar Gaza, di mana Israel mula mengundurkan tenteranya.

Dentuman perang itu boleh didengari di bandar berdekatan Beit Lahiya dan Jabalia, berhampiran dengan Bandar Gaza.

Tentera Israel berkata, pihaknya terbabit dalam 'pertempuran sengit' di Khan Younis, dengan tenteranya ditugaskan 'menghapuskan pengganas dan menemui sejumlah besar senjata'.

Dalam pada itu, sayap bersenjata Hamas dan Jihad Islam memaklumkan, pejuangnya bertempur dengan tentera Israel di beberapa kawasan di seberang wilayah itu sejak semalaman.

Sayap bersenjata Hamas berkata,pejuangnya memusnahkan dua kereta kebal Israel di Khan Younis.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf Al-Qidra, berkata seramai 165 rakyat Palestin terbunuh dan 290 cedera dalam tempoh 24 jam lalu, meningkatkan jumlah terkorban dalam serangan Israel sejak perang bermula kepada 26,422 mangsa.

Pegawai di wilayah yang diperintah Hamas tidak membezakan antara pejuang dan orang awam dalam perjumlahan mereka.

Penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal melarikan diri dari timur al-Bureij di tengah Semenanjung Gaza akibat pengeboman Israel ke atas bandar itu. - Foto AFP
Penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal melarikan diri dari timur al-Bureij di tengah Semenanjung Gaza akibat pengeboman Israel ke atas bandar itu. - Foto AFP

Israel berkata, pihaknya kehilangan 220 tentera dalam serangan darat dan membunuh 9,000 pejuang Gaza, satu angka yang dinafikan Hamas.

Di barat Bandar Gaza, penduduk berkata, bot tentera laut Israel melepaskan tembakan di kawasan tepi pantai, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Di bahagian lain wilayah itu, penduduk melaporkan pertempuran darat semakin sengit di tengah-tengah serangan udara Israel yang lebih kerap.

Tentera Israel mengisytiharkan zon ketenteraan di persimpangan Kerem Shalom ke Gaza ditutup selepas penunjuk perasaan sayap kanan dan beberapa keluarga tebusan cuba menghalang bantuan masuk ke wilayah itu, mendakwa ia hanya membantu Hamas.

Sementara itu, pakar perubatan dan penduduk Palestin berkata, Israel terus mengebom kawasan sekitar dua hospital utama di Khan Younis, sekali gus menghalang usaha pasukan penyelamat menjawab panggilan kecemasan orang yang terperangkap akibat pengeboman Israel.

"Sistem penjagaan kesihatan di hospital Nasser dan Al-Amal juga terjejas sepenuhnya," kata Qidra.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dalam kenyataan, memaklumkan pasukan perubatan di Hospital Al-Amal di Khan Younis tidak dapat melakukan pembedahan berikutan kehabisan bekalan oksigen.

Selain itu, semalam lebih banyak keluarga dipindahkan dari Khan Younis.

Beberapa kumpulan penduduk Palestin dilihat mengambil jalan darat untuk mendekati bandar Rafah di sepanjang sempadan dengan Mesir atau Deir Al-Balah ke utara.

Sementara itu, kumpulan lain dilihat menuju ke barat, ke kawasan yang dipanggil Al-Mawasi, kawasan kecil yang sememangnya sudah padat dengan pelarian Palestin. - REUTERS

Berita Harian X