Sabtu, 27 Januari 2024 | 10:33am
Penunjuk perasaan mengambil bahagian dalam demonstrasi solidariti ketika Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyampaikan keputusan kes terhadap Israel yang difailkan Afrika Selatan. - Foto AFP
Penunjuk perasaan mengambil bahagian dalam demonstrasi solidariti ketika Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyampaikan keputusan kes terhadap Israel yang difailkan Afrika Selatan. - Foto AFP

Palestin sambut baik langkah bersyarat ICJ ke atas perang Israel di Gaza

RAMALLAH (PALESTIN): Menteri Luar Palestin, Riyad Al-Maliki menyambut baik perintah sementara yang diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung perang Israel di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Kami menggesa semua negara supaya memastikan semua langkah sementara yang diperintahkan oleh mahkamah dilaksanakan, termasuk oleh tentera pendudukan Israel," menurut Al-Maliki sambil menekankan keputusan mahkamah dunia, yang dikeluarkan malam tadi adalah "kewajipan undang-undang yang mengikat."

"Negara-negara kini mempunyai kewajipan undang-undang yang jelas untuk menghentikan perang pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dan memastikan mereka tidak terlibat," katanya.

Al-Maliki juga berkata keputusan mahkamah antarabangsa itu adalah peringatan penting bahawa tidak ada negara yang mengatasi undang-undang.

"Ia sepatutnya menjadi pengajaran kepada Israel dan pelaku bahawa mereka tidak akan terlepas daripada hukuman."

Beliau juga menyampaikan ucapan "terima kasih rakyat Palestin kepada rakyat dan kerajaan Afrika Selatan kerana mengambil langkah berani dengan aktif bersolidariti," sambil menambah bahawa pihak berkuasa Palestin akan "terus bekerjasama rapat dengan Afrika Selatan dan negara-negara lain untuk memastikan keadilan ditegakkan."

Dalam keputusan sementara kes pembunuhan beramai-ramai yang difailkan oleh Afrika Selatan di The Hague, ICJ memerintahkan Israel supaya mengambil "semua langkah dalam kuasanya" untuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, namun tidak membuat keputusan untuk mengarahkan gencatan senjata.

Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza sejak serangan pada 7 Oktober.

Sekurang-kurangnya 26,083 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan 64,487 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.

Serangan Israel menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, manakala 60 peratus infrastruktur di wilayah itu rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – BERNAMA-ANADOLU

Berita Harian X