Jumaat, 26 Januari 2024 | 12:51pm
Seorang wanita Palestin membakar roti di Khan Younis. - Foto REUTERS
Seorang wanita Palestin membakar roti di Khan Younis. - Foto REUTERS

PM Palestin harap keputusan ICJ akan tamatkan pencerobohan Israel

RAMALLAH: Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh menyuarakan harapan agar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) hari ini akan merangkumi langkah-langkah menghentikan tindakan genosid Israel di Gaza yang kini memasuki hari ke-111.

Beliau berharap ICJ melaksanakan langkah-langkah bagi memastikan aliran bantuan kemanusiaan yang cepat demi menyelamatkan mereka yang kebuluran, cedera, menghidap penyakit dan menghadapi ancaman kematian di Gaza, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebelum keputusan ICJ, Shtayyeh berkata: "Kami mengharapkan mahkamah memenuhi tanggungjawab undang-undang dan kemanusiaan di hadapan masyarakat antarabangsa memandangkan kejadian pembunuhan beramai-ramai yang dialami rakyat kami tidak pernah berlaku sejak Perang Dunia II. Kami menjangkakan mahkamah akan meneruskan siasatan berhubung pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap rakyat di Gaza."

Afrika Selatan memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Israel pada 29 Disember 2023, menuduhnya melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Afrika Selatan membentangkan dokumen setebal 84 muka surat kepada mahkamah, mengumpulkan bukti pembunuhan beribu-ribu rakyat Palestin di Gaza. – BERNAMA-WAFA

Berita Harian X